suria

Digigit jerung ketika di Maldives... Wanita rupanya menyelam ketika haid, didakwa ambil ringan kecederaan

Wanita itu menunjukkan keadaan tangannya yang cedera digigit jerung.

MALANG tidak berbau bagi seorang pelancong wanita dari China apabila dia digigit seekor jerung jenis nurse shark ketika menyelam di Maldives pada 21 November lalu.

Video kejadian yang tular mengundang perhatian netizen, namun wanita itu mengundang kemarahan ramai kerana dianggap memandang ringan kecederaan dialaminya.

Rakaman menunjukkan dia menarik tangan sejurus digigit pada bahagian lengan dan tidak segera mendapatkan rawatan walaupun dinasihati pelancong lain. 

Malah, dia sempat berseloroh menyatakan tangannya mungkin perlu dipotong kerana sudah kehabisan wang untuk dibelanjakan pada bulan tersebut.

Netizen mengecam tindakan sambil lewa itu kerana luka gigitan, walaupun daripada jerung spesies jinak, tetap berisiko tinggi dijangkiti kuman.

Wanita itu mendakwa tidak berasa sakit atau melihat pendarahan ketika di dalam air, justeru menyangka kecederaan dialaminya adalah ringan. 

Seorang lelaki di atas bot membalut lukanya sebelum dia akhirnya mendapatkan rawatan termasuk suntikan tetanus di sebuah hospital.

Pada 29 November, dia memaklumkan sedang menuju ke sebuah hospital di China kerana kesal selepas menerima kecaman dianggap lebih 'ganas' daripada gigitan jerung itu sendiri.

Keadaan bertambah 'hangat' apabila dia mengaku menyelam ketika haid, namun mendakwa sudah mendapatkan nasihat bahawa tindakannya itu selamat.

Rakannya pula berpendapat serangan jerung itu berpunca daripada pantulan gelang perak yang dipakainya, berkemungkinan disangka sebagai ikan kecil.

Pakar marin menjelaskan nurse shark jarang menyerang manusia, namun gigitan tetap berisiko dijangkiti bakteria atau virus laut.

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia