SEORANG pemuda berdepan pengalaman pahit apabila dia terpaksa berpatah balik ke Malaysia sejurus mendarat di Bangkok, Thailand.
Menerusi hantaran di Threads, pemuda dikenali sebagai Asrnajmi itu mendakwa diusir dari Thailand kerana beberapa kesilapan.
"Baru je sampai lapangan terbang di Bangkok. Macam biasa proses imigresen. Sampai part member aku, dia betul-betul periksa.
"Mereka tanya duduk berapa hari, dah tempah hotel, tengok bukti dah tempah ke belum. Siap tanya kenapa tiket balik tak beli lagi?
"Kami rancang nak balik naik kereta api, cuma belum beli lagi," ujarnya memulakan cerita.
Selain disoal tentang tiket pulang dan penginapan, pemuda itu mendakwa nilai wang yang dibawa turut diperiksa oleh pegawai bertugas.

Pelancong perlu menghormati undang-undang negara yang dilawati. -Gambar hiasan
"Dia check berapa cash Baht kita ada. Kami memang tak keluar banyak cash, semua ada dalam bank dan Touch 'n Go. Dia nak check duit kau.
"Setakat RM700 ke RM800 tak cukup. Minima RM2,000 atau 15,000 Baht, baru boleh bercuti ke Bangkok," tulisnya lagi.
Ketika dihubungi mStar, pemuda itu mengesahkan dia terpaksa membeli tiket penerbangan baharu pada harga RM398 dan terus pulang ke Malaysia.
"Dah la baru je sampai. Kami ni, dua kaki dah pijak bumi Bangkok. Cuma tak dapat hirup udara Bangkok je," kongsinya lagi di Threads.
Di ruangan komen, ramai netizen turut berkongsi pengalaman mereka yang hampir sama.
"Saya rasa mana-mana imigresen pun sama peraturan. Kena ada tiket flight balik. Kot-kot mereka tanya atau tak tanya.
"Tak kisah nak keluar negara tu dengan cara apa pun. Tapi kena ada bukti yang kita akan keluar.
"Ya, kena booking siap-siap baru mereka tak banyak tanya," tulis beberapa netizen.


