MEMBAWA pulang barangan yang dibeli dari luar negara tertakluk kepada peraturan tertentu, termasuk had kuantiti bagi pakaian dan kasut.
Dalam satu perkongsian, seorang wanita menceritakan pengalaman dikenakan caj 10 peratus cukai selepas tiba di lapangan terbang di Kota Bharu, Kelantan selepas dia membawa pulang kasut baharu melebihi had dan kuantiti ditetapkan.
Individu bernama Mimi yang dipercayai baru pulang dari Jepun itu menjelaskan bahawa dia tidak tahu apabila membeli barang di luar negara, setiap individu hanya dibenarkan membawa masuk satu pasang kasut baharu sahaja tanpa dikenakan duti (duty free).
Dalam hantaran sama, wanita ini turut berkongsi gambar notis Kastam Malaysia yang menerangkan kategori barangan yang layak mendapat pengecualian cukai iaitu:

Resit pembelian kasut yang dikongsi Mimi.
1. Minuman keras
Wain, spirit bir atau liquor malt (minuman beralkohol) tidak melebihi satu liter kesemuanya.
2. Pakaian
Pakaian baharu tidak melebihi tiga helai.
3. Kasut
Kasut baharu tidak melebihi sepasang.
4. Bahan makanan
Bahan penyediaan makanan bernilai tidak melebihi RM150.
5. Barang elektronik
Peralatan mudah alih baharu untuk kegunaan penjagaan dan kebersihan diri yang menggunakan kuasa elektrik atau bateri tidak melebihi satu unit.
6. Lain-lain
Semua barangan yang tidak dinyatakan tidak termasuk tayar, tiub, produk tembakau, rokok, rokok elektronik termasuk peranti dan bahan penyediaan bernilai tidak melebihi RM500 melalui mod darat atau laut atau RM1,000 melalui mod udara.
Mimi turut menunjukkan resit pembelian berjumlah 75,000 Yuen (RM1,900) untuk lima pasang kasut yang dibeli di Jepun dan dibawa pulang.
Kejadian ini turut mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan ada yang menyarankan agar kotak kasut dibuang.
Jelas Mimi, cukai tetap dikenakan kerana jumlahnya melebihi kuota pengecualian walaupun kotak kasut telah dibuang dan semua barangan dimasukkan ke dalam beg.


