suria

Panel pintu dipatahkan, terkunci dari dalam... Jemaah Malaysia kongsi detik cemas dirompak pemandu teksi Makkah

BAHAYA boleh berlaku di mana-mana sahaja kita berada hatta ketika menunaikan ibadah di Kota Makkah.

Itulah yang dikongsikan Nabilah Hamzah yang berharap pengalaman pahitnya akan menjadi satu peringatan buat jemaah lain supaya lebih berwaspada.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika dia ingin menaiki sebuah teksi untuk ke satu destinasi tidak dinyatakan ini ketika berada di Tanah Suci.

"Siapa pergi Makkah, kalau nak naik teksi, tolong buka pintu dan check dulu tempat buka pintu tu okay atau tidak… child lock atau pemegang rosak ke.

"Saya dapat (naik) teksi yang dipatahkan bahagian buka pintu (tak boleh buka dari dalam). Dia bawa saya keluar dari pagar kawasan Makkah.

"Dia ugut saya keluarkan semua duit yang ada. Selagi dia tak puas hati, dia tak buka pintu. Bila itu saja yang saya ada (keluarkan) dia turunkan saya entah dekat mana-mana," ceritanya.

Selepas menyerahkan semua barang berharga, Nabilah terpaksa berjalan kaki dalam jarak perjalanan jauh untuk pulang semula ke Makkah.

Lebih menakutkan, lelaki itu turut didakwa menarik secara paksaan untuk melihat isi kandungan di dalam beg yang dibawa.

Perkongsiannya yang dibuat di Threads itu menerima pelbagai reaksi, termasuk teguran dan nasihat daripada pengguna lain.

Seorang individu mencadangkan penggunaan aplikasi e-hailing demi keselamatan kerana mempunyai rekod yang boleh digunakan untuk laporan polis.

"Guna aplikasi Uber, Careem atau Bolt lepas ni. Dekat aplikasi tu ada rekod, apa-apa bukti yang boleh untuk buat laporan.

"Saya sudah ke Makkah beberapa kali. Saya memang pilih cara macam ni sebab tahu orang sana pun sama je. Rambut hitam tapi hati lain-lain," jelas seorang netizen.

Artikel Lain