SEORANG pengguna media sosial mempertikaikan 'posting' yang dibuat seorang jemaah lelaki mengenai data di aplikasi kecergasan Strava, ketika menunaikan umrah di Masjidil Haram, Makkah.
Pengguna berkenaan turut meluahkan rasa kecewa apabila terdapat jemaah yang terlalu sibuk dengan telefon bimbit walaupun berada di lokasi ibadah paling suci untuk umat Islam.
Menurutnya, bukan sekadar penggunaan aplikasi kecergasan, ada juga individu yang selamba membuat siaran langsung ketika berada di hadapan Kaabah.
"Sudah berada di tempat ibadah yang paling baik dalam dunia pun masih sibuk nak on Strava. Safa dan Marwah pun ada juga orang buat perangai ni.
"Manusia ni memang... tak tahulah nak cakap apa. Ada juga yang pegang telefon sambil on 'live' depan Kaabah. Memang tak ada kerja betul. Waktu ibadah juga la dia nak live.
"Eloklah kerajaan Saudi sudah nak haramkan penggunaan telefon dalam kawasan mataf," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Dia mempertikaikan hantaran yang dibuat pempengaruh Indonesia, Danang Giri Sadewa ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci di beberapa platform media sosialnya pada Jumaat.
Namun, pendapat lelaki tersebut tidak dipersetujui sepenuhnya oleh warganet apabila ramai tampil mempertahankan tindakan pempengaruh itu dengan menyifatkannya sebagai lebih terkawal berbanding rakaman video atau siaran langsung.
"Okey je pada pandangan saya. Dia cuma bentangkan fakta dan data. Sedikit sebanyak untuk pengetahuan umum daripada buat content gender reveal (dedah jantina).

Hantaran asal dibuat individu berkenaan.
"Kalau tunjuk Strava ni okay je rasanya sebab tekan rekod kemudian biar je. Lainlah kalau jenis merakam je memanjang selfie, buat video... tak fokus ibadah. Tu yang kerajaan Arab Saudi haramkan dah tu.
"Tak perlu pertikai ibadah orang. Orang tu pun tulis No pace, just peace. Tengok dengan 'mata lebah' je dik jangan duduk tenung dengan 'mata lalat'. Mungkin awak kena muhabasah diri.
"Saya secara peribadi rasa lebih baik dia rekod Strava sebab tak perlu berlebihan pegang telefon sambil live. Pada masa sama orang boleh sedar nak umrah ni kena stamina tinggi juga terutama nak buat tawaf sunat dekat tingkat atas tu," komen beberapa netizen.
Dalam pada itu ada juga yang menjelaskan manfaat penggunaan aplikasi kecergasan ketika menunaikan ibadah umrah dan haji.
"Kebaikan saya dapat dari posting dia dan sebenarnya saya pun buat benda sama. Saya hidupkan autolap di jam Garmin untuk kira berapa kali tawaf.
"Maklumat berapa KM (kilometer) dan anggaran masa untuk mudahkan bakal umrah atau haji bersedia. Adakah anda tahu 30,000 adalah purata menapak di Makkah setiap hari?
"Terdapat perbezaan KM jika tawaf di bawah dan di atas. Kalau tak hidupkan Strava, tak akan tahu benda ni," kata netizen tersebut.

Sebahagian komen netizen pada hantaran asal.
Susulan kritikan yang diterima, lelaki terbabit tampil menjelaskan pendiriannya dan menegaskan kebimbangan terhadap trend tersebut jika dibiarkan berterusan.
"Saya memang jangka ada yang tak sependapat dengan saya tapi tak kisah. Saya risau benda ni akan melarat sampai semua orang pun nak post juga Strava dia. Dekat luar tak buat pula.
"Sampai dekat dalam Masjidil Haram baru nak post dan buat. Akhirnya orang anggap benda tu nampak hebat bila post Strava dalam Masjidil Haram.
"Nanti ada pula orang datang ke Masjidil Haram hanya untuk Strava berbanding kerana Allah," jelasnya.
Bagaimanapun, hantaran dibuat individu berkenaan diturunkan beberapa jam kemudian susulan menerima kecaman beberapa netizen pada posting tersebut.


