suria

Sepanjang 2025 Malaysia terima kemasukan 38 juta pelancong asing, paling ramai di Asia Tenggara!

Jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain, Malaysia paling menjadi tumpuan pelancong asing pada 2025.

MALAYSIA muncul sebagai negara paling ramai dikunjungi di Asia Tenggara bagi tahun 2025 selepas merekodkan kehadiran 38 juta pelancong asing sehingga November lalu.

Rekod tersebut sekali gus mengatasi Thailand yang didapati mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan dalam sektor pelancongan dengan jumlah 33 juta pelancong, seperti dilaporkan Bloomberg.

Berdasarkan data Tourism Malaysia, jumlah ketibaan tersebut menunjukkan pemulihan kukuh industri pelancongan negara serta peningkatan berterusan berbanding tahun sebelumnya.

Prestasi itu disokong oleh peningkatan kemasukan pelancong dari negara jiran serta pasaran utama antarabangsa.

Situasi ini juga sejajar dengan kemudahan perjalanan dan kepelbagaian produk pelancongan yang ditawarkan merangkumi bandar, alam semula jadi, makanan dan budaya setempat.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata kejayaan Malaysia mencatat kemasukan pelancong melebihi sasaran membuktikan hala tuju dan strategi pelancongan yang digerakkan kerajaan berada di landasan tepat.

Pelancong asing tidak ketinggalan merakam destinasi pelancongan di Malaysia.

Pelancong asing tidak ketinggalan merakam keindahan dan keunikan destinasi pelancongan di Malaysia.

Beliau berkata, pencapaian tersebut bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap produk, kemudahan dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan Malaysia.

Menurutnya, peningkatan ketibaan pelancong didorong oleh pendekatan agresif kementerian dalam memudah cara perjalanan, memperluas jaringan penerbangan serta memperkukuh promosi berfokus di pasaran utama termasuk Timur Tengah, China, Singapura, Indonesia dan Asia Barat.

"Kejayaan itu tidak akan dijadikan alasan untuk berpuas hati, sebaliknya menjadi asas kukuh bagi persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan penekanan terhadap pelancongan bernilai tinggi, mampan dan berkualiti.

"Matlamat kementerian adalah memastikan Malaysia bukan sahaja menerima lebih ramai pelancong, malah meningkatkan perbelanjaan pelancong serta mengekalkan kedudukan negara sebagai antara destinasi pilihan utama di peringkat serantau dan global," jelas beliau.

Artikel Lain