KISAH rakyat Malaysia menjadi mangsa penyeluk saku di bandar-bandar utama Eropah sering dikongsi di media sosial. Namun, kali ini situasinya berbeza apabila seorang lelaki rakyat Malaysia berjaya menyedari perbuatan itu sebelum sempat menjadi mangsa ketika dia berada di Budapest, Hungary. Berdasarkan perkongsian di Thread [Tonton Video], lelaki berkenaan berkongsi detik cemas apabila seorang wanita dipercayai penyeluk saku cuba membuka beg miliknya ketika berada di kawasan awam.“Hati-hati yang korang kat sini. Tengok ni penyeluk saku, dia buka beg aku. Nasib baik aku bukan jenis ada duit."Tengok cara dia, pura-pura nak beli barang kemudian dia curi melalui selendang dia," katanya.Tidak sekadar merakam pergerakan wanita itu, lelaki tersebut turut bertindak mengejar dan menegur penyeluk saku itu secara terbuka."Aku ni suka provoke. Tengok aku kejar dia. Pick pocket! Pick pocket! Tahu pun cuak!" katanya hingga wanita itu melarikan diri menaiki bas.Tindakan itu dipercayai untuk memberi amaran serta menghalang cubaan sama terhadap pelancong lain.Perkongsian itu mendapat pujian netizen yang menyifatkan dia berani selain dapat dijadikan sebagai peringatan kepada mereka yang melancong ke luar negara agar lebih berwaspada.