suria

Jurutera kongsi pengalaman 'pusing' Eropah 40 tahun lalu, saran orang muda keluar mengembara lihat dunia

Golongan muda perlu mengambil peluang melancong ke luar negara. -Gambar hiasan AI

MENGEMBARA ketika usia muda bukan sekadar melancong, sebaliknya satu pengalaman hidup yang membentuk jati diri, keberanian dan ketahanan mental.

Perkara itu dikongsikan jurutera, Ir Zainuddin Omar, yang mengimbau pengalamannya mengembara selama sebulan di seluruh Eropah lebih 40 tahun lalu dengan bajet yang amat terhad.

Menurutnya, ketika cuti musim panas, dia hanya berbekalkan wang kira-kira £100 (sekitar RM700) pada waktu itu untuk menampung makan, penginapan dan pengangkutan awam.

“Sepanjang sebulan, makanan harian saya cuma roti Perancis dan sardin sejuk. 

"Setiap pagi saya beli roti panjang hampir dua kaki, kemudian bahagi untuk sarapan, tengah hari dan malam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Banyak pengalaman bakal diraih bila kita mengembara ke negara asing. -Gambar hiasan AIBanyak pengalaman bakal diraih apabila kita mengembara ke negara asing. -Gambar hiasan AI

Dia turut membeli tiga tin kecil sardin sehari yang terus dimakannya tanpa dimasak, manakala minuman pula diambil dari paip awam yang mudah didapati di bandar-bandar Eropah.

Untuk perjalanan antara negara, Zainuddin menggunakan tiket kereta api Interail yang dibeli di London dan membolehkannya mengembara ke seluruh Eropah.

Namun, kos hostel yang mencecah sehingga £10 (RM70) semalam menyebabkan dia tidak mampu bermalam di situ setiap hari.

“Dalam seminggu, tiga atau empat malam saya tidur di taman bunga, tepi pantai atau bangunan kosong, tanpa khemah, hanya berbantalkan lengan dan beratapkan langit,” katanya.

Menurutnya, tandas awam di Eropah sangat bersih justeru ia boleh digunakan tanpa timbul sebarang masalah. 

Malah, Zainuddin pernah tidur di bangku stesen kereta api dan juga di panggung wayang 24 jam di St Pauli, Hamburg.

"Jika dapat tidur di dalam kereta api malam, ia sangat menjimatkan bajet dan masa perjalanan.

"Jika ingin tidur di taman bunga, saya akan pastikan lokasinya jauh dari laluan awam dan tidak kelihatan orang lain bagi mengelakkan diri daripada dirompak," katanya.

Lebih menarik, katanya, anjing jalanan yang diberi makan roti kadangkala menjadi ‘pengawal peribadi’ dan tidur bersebelahan untuk keselamatan.

Mengakhiri perkongsian, Zainuddin berkata pengalaman mengembara di usia muda banyak mengajarnya erti berdikari, pengurusan kewangan, keberanian dan keyakinan diri.

“Kalau ada peluang, mengembaralah ketika masih muda. InsyaAllah hidup akan jadi lebih bermakna,” katanya.

Artikel Lain