SEORANG pempengaruh memohon maaf secara terbuka selepas mengalami cirit-birit teruk sehingga memberi kesan kepada beratus-ratus penumpang lain kerana penerbangan terpaksa dibatalkan.
Dia mula berasa sakit perut selepas makan burger separuh masak sebelum penerbangan.
Meghan Reinertsen yang juga pencipta kandungan serta pelakon mendedahkan insiden ini berlaku ketika dia mahu pulang dari Portugal pada Julai tahun lalu.
Dalam penerbangan sambungan dari Newark ke Indianapolis, Meghan mengalami sakit perut teruk sehingga memaksanya menggunakan tandas pesawat dalam tempoh yang lama, meskipun lampu tali pinggang keledar masih menyala.
“Saya makan burger daging separuh masak beberapa jam sebelum berlepas ke Indiana. Saya cuma makan dua tiga suap sebab rasa memang tak masak.
“Perut mula berbunyi dan saya tahu ada sesuatu yang tak kena. Selama 20 minit saya alami cirit-birit yang paling teruk dalam hidup. Tak lama kemudian saya muntah,” katanya di TikTok [Tonton Video].
Meghan Reinertsen memohon maaf menjadi punca penerbangan dibatalkan.
Keadaan berlarutan selama hampir 90 minit menyebabkan juruterbang membenarkannya kekal di dalam tandas sehingga pesawat mendarat.
Sebaik mendarat, semua penumpang lain keluar sebelum Meghan dibawa dengan kerusi roda.
Kru memaklumkan bahawa penerbangan seterusnya terpaksa dibatalkan bagi memberi laluan kepada proses pembersihan.
Meghan turut menyatakan rasa kesal sekiranya insiden itu menjejaskan penumpang lain dan menyatakan keadaan itu berlaku di luar kawalannya.
Tip elak sakit perut, cirit-birit ketika menaiki pesawat:
1. Elak makanan separuh masak
– Jangan makan daging, ayam atau makanan laut yang tidak dimasak sepenuhnya sebelum penerbangan.
2. Pilih makanan ringan dan mudah hadam
– Ambil roti, buah-buahan atau makanan berasaskan karbohidrat ringkas.
3. Minum air bersih secukupnya
– Pastikan anda kekal hidrat, elak minuman tidak diketahui sumbernya.
4. Kurangkan kafein dan alkohol
– Kedua-dua ini boleh merengsakan perut dan menyebabkan dehidrasi.
5. Sediakan ubat asas
– Bawa ubat tahan sakit perut, ubat cirit-birit atau oral rehydration salt (ORS) untuk kecemasan.
6. Amalkan kebersihan tangan
– Basuh tangan dengan sabun atau gunakan 'hand sanitizer' sebelum makan.
7. Elak makan terlalu banyak sebelum terbang
– Makan dalam kuantiti sederhana untuk elak perut bekerja terlalu kuat ketika berada di altitud tinggi.


