suria

Jangan terlalu yakin dengan insurans perjalanan... Belajar daripada kisah wanita Malaysia diserang strok di Vietnam

Sakit secara tiba-tiba adalah kebimbangan utama, terutamanya bagi penyakit kronik yang tidak menunjukkan gejala awal. -Gambar hiasan AI

WANITA Malaysia yang mengalami strok ketika bercuti di Vietnam menjadi perhatian ramai selepas suaminya merayu bantuan orang ramai untuk membawanya pulang ke tanah air.

Kisahnya bermula ketika pasangan itu sedang bersiap untuk pulang ke Sabah selepas tamat percutian mereka.

Namun secara tiba-tiba, Ruhana Joseph diserang strok sebelum dikejarkan ke hospital di Vietnam.

Keadaannya dilaporkan semakin serius apabila mengalami pendarahan di bahagian otak yang menyebabkannya berada dalam keadaan koma sejak 21 April lalu.

Susulan itu suaminya, Jamri Herry memohon bantuan awam kerana kos untuk membawa pulang isteri tercinta dianggarkan mencecah USD5,000 (RM19,752).

Kos tersebut hanyalah untuk prosedur membawa pulang, tidak termasuk tiket penerbangan dan perbelanjaan perubatan lain yang semakin meningkat.

Rentetan kisah hiba ini, timbul persoalan dalam kalangan netizen mengapa insurans perjalanan tidak digunakan sepenuhnya dalam situasi kecemasan sebegini.

Mengulas isu tersebut, ejen insurans, Yaya Hassan, menjelaskan bahawa insurans perjalanan bukan perlindungan menyeluruh untuk semua jenis penyakit, khususnya melibatkan masalah kesihatan kronik.

Salah satu terma penting yang sering tidak difahami ialah berkenaan existing illness atau penyakit sedia ada.

Kebanyakan insurans perjalanan tidak melindungi penyakit yang sudah wujud sebelum seseorang memulakan perjalanan. 

Contohnya, strok selalunya berkait rapat dengan masalah kesihatan seperti darah tinggi atau diabetes yang sudah lama ada dalam rekod perubatan pesakit.

Insurans perjalanan pada asasnya direka untuk melindungi perkara yang tidak dijangka seperti kemalangan, keracunan makanan atau jatuh sakit secara tiba-tiba ketika berada di luar negara.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya memahami terma polisi insurans dengan teliti sebelum melancong.

Ini bertujuan supaya pelancong tidak bergantung sepenuhnya kepada perlindungan travel insurance ketika berdepan kecemasan di luar negara.

Artikel Lain