PERJALANAN yang sepatutnya bermula dengan gembira boleh bertukar cemas apabila bagasi tidak muncul di lapangan terbang.
Menurut pengguna Thread menggunakan akaun Turis Sesat, dia mendakwa semakin ramai pelancong berdepan masalah bagasi tidak sampai, khususnya melibatkan penerbangan ke Jepun.
Katanya, dalam tempoh seminggu sekurang-kurangnya 18 pelawat dilaporkan berdepan isu bagasi tidak tiba di destinasi sehingga menimbulkan kebimbangan.
Susulan itu, dia berkongsi beberapa langkah penting yang boleh dijadikan panduan sekiranya anda mengalami situasi sama di mana bagasi hilang atau tertangguh di lapangan terbang.
1. Jangan panik
Perkara paling utama adalah kekal tenang kerana panik tidak mempercepatkan proses pencarian bagasi, sebaliknya hanya menambah tekanan emosi.
2. Jangan keluar dari kawasan tuntutan bagasi
Sebaik menyedari bagasi tidak kelihatan, jangan terus meninggalkan kawasan luggage claim.
Terus ke kaunter luggage services atau kaunter syarikat penerbangan berkaitan.
3. Buat laporan kehilangan dengan segera
Isi borang laporan kehilangan dan sediakan dokumen penting seperti boarding pass, tag bagasi (pelekat kecil yang ditampal ketika daftar masuk) serta pasport.
Sertakan juga alamat hotel atau tempat penginapan anda.

Jaga barang ketika melancong bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku -Gambar hiasan
4. Pastikan terima nombor rujukan kes
Dapatkan reference number atau case number serta salinan laporan.
Simpan semua dokumen dan bukti kerana ia penting untuk urusan susulan dan tuntutan insurans.
5. Pulang ke hotel dan tunggu
Menunggu di lapangan terbang tidak akan membantu sekiranya bagasi masih berada di negara asal atau di lokasi lain.
Pulang ke hotel dan tunggu maklumat lanjut daripada pihak penerbangan.
6. Jejaki status bagasi secara dalam talian
Gunakan sistem penjejakan seperti WorldTracer untuk menyemak status bagasi anda dari semasa ke semasa.
7. Kelebihan jika ada insurans perjalanan
Sekiranya mempunyai insurans perjalanan, anda boleh membuat tuntutan bagi keperluan asas sementara menunggu bagasi ditemui.
Sebagai tambahan, Turis Sesat turut berkongsi beberapa langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dan kesulitan jika perkara sama berlaku.
Antaranya ialah meletakkan AirTag atau peranti penjejak di dalam bagasi bagi memudahkan pengesanan, membawa sepasang pakaian dan barangan penting di dalam hand carry atau beg tangan.


