suria

Hukuman penjara 5 tahun kekal, mahkamah tolak permohonan ibu Zayn Rayyan

Mahkamah tolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun.

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam pada Selasa menolak permohonan ibu Zayn Rayyan untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan kana-kanak autisme itu.

Keputusan ke atas Ismanira Abdul Manaf, 30, itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas meneliti segala afidavit dan hujahan daripada pemohon serta responden.

Pada 31 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas didapati bersalah kerana mengabaikan anaknya dua tahun lalu.

Sabitan kesalahan itu dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismanira dipenjara 5 tahun abai Zayn Rayyan

Selain hukuman penjara, mahkamah juga memerintahkan wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dan melaksanakan 120 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Untuk rekod, Zayn Rayyan, yang menghidap autisme, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023, sebelum mayatnya ditemukan di sebuah anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada keesokan harinya.

Bedah siasat mengesahkan bahawa dia meninggal dunia akibat jerutan.

Ismanira didakwa atas kesalahan pengabaian pada Jun 2024, manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, kemudiannya dibebaskan selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Artikel Lain