suria

Ambulans PBSM bertembung Myvi di lampu isyarat, rempuh pula empat penunggang motosikal

Pelangganran yang berlaku mengakibatkan ambulans terbabas dan melanggar beberapa penunggang motosikal di lampu isyarat

 

TULAR rakaman video sebuah ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bertembung dengan kereta jenis Myvi sebelum merempuh beberapa penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Usahawan 6, Setapak di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Kejadian yang berlaku pada pukul 8.10 pagi itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal lelaki berumur 40 tahun patah tulang paha kaki kanan.

Beberapa mangsa lain yang juga penunggang motosikal termasuk pembonceng kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun disahkan mengalami kecederaan ringan seperti luka dan sakit di bahagian badan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kemalangan tersebut melibatkan dua buah kereta, sebuah ambulans dan empat buah motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

"Pemandu wanita berusia 42 tahun dan seorang pemandu lelaki berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Lelaki berusia 34 tahun yang memandu ambulans PBSM dan penumpang lelaki berumur 24 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Tambah Mohd Zamzuri, hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dipandu dari arah Wangsa Maju sedang bergerak lurus semasa lampu isyarat hijau. 

Pada masa sama, sebuah van ambulans PBSM yang datang dari arah Jalan Kilang dengan lampu kecemasan dan siren diaktifkan telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah lalu bertembung dengan kereta tersebut.

"Berdasarkan semakan terhadap rakaman video kejadian yang tular di media sosial, didapati van ambulans berkenaan sememangnya memasang siren dan lampu mata arah. 

"Walau bagaimanapun, pemandu ambulans tersebut perlu mengambil langkah memperlahankan kenderaan semasa menghampiri dan memasuki persimpangan lampu isyarat.  

"Kes ini masih dalam siasatan lanjut pihak polis di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambahnya.

Beliau berkata, van ambulans PBSM tersebut tidak membawa pesakit dan sedang dalam perjalanan bagi memberi respons untuk mengambil individu di kawasan Projek Perumahan Rakyat Gombak Setia.

 

Artikel Lain