MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi melaksanakan Titah Adendum.
Justeru, Perdana Menteri keenam itu kekal menjalani baki hukuman di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
"Titah Adendum bukanlah satu perintah yang sah. Sehubungan itu perintah tahanan di rumah tidak boleh dilaksanakan," katanya.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas beliau mendapat pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Ini bermakna Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.


