PENGANJURAN Honda Day Malaysia 2025 oleh Remy Ampang di Litar Antarabangsa Sepang pada Sabtu suram selepas dipercayai diboikot.
Menerusi perkongsian video di TikTok [Tonton Video] hanya sebahagian kecil peminat kereta jenama Jepun itu hadir, selain khemah jualan juga kelihatan kosong.
"Nasib baik tahun ni tak buka khemah, kalau tak… makan modal," kata pemilik video yang juga penjual aksesori kenderaan.
Menurutnya kos sewa tapak untuk program satu hari berkenaan mencecah RM1,000 dan pastinya memberi kesan kepada peniaga.
"Sewa sehari RM1,000, belum tentu dapat hasil lagi," katanya menjawab pertanyaan netizen berkaitan kos sewa.
Menerusi perkongsian video yang lain [Tonton Video], pengguna TikTok mendakwa peserta hanya mendapat hadiah biskut berharga RM2 untuk program tersebut.
"Hadiah penyertaan ke ni? Biskut RM2," katanya.
Sementara itu Remy Ampang atau nama sebenarnya, Mohd Syaz Remy Syaz Riza berterima kasih kepada mereka yang masih menyokongnya dan memohon maaf atas kesilapan lalu.
"Terima kasih semua yang datang dan menyokong kami. Segala kekurangan kami…10 jari menyusun kemaafan, minta ampun.
"Kesilapan lalu kami jadikan pengajaran dan iktibar. Kami akan baiki sebaik mungkin," katanya.
Tambah Remy Ampang tujuan penganjuran adalah mencari kawan yang mempunyai hobi sama dan bukannya mengundang musuh.
"Tahun depan kita buat kelainan, tunggu," katanya.
Tahun lalu, Remy Ampang dikecam teruk selepas hadiah cabutan bertuah acara itu adalah sebuah kereta Honda SM4 yang sudah buruk, namun hadiah tersebut kemudiannya diganti dengan BMW F30.


