USAHA berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperbaharui sistem pendidikan negara mula menampakkan hasil yang memberangsangkan.
Sepanjang tiga tahun lalu, pelbagai pembaharuan penting telah dilaksanakan bukan sahaja untuk memastikan murid kekal dalam sistem pendidikan, malah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih berkualiti dengan guru sebagai fokus utama.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan reformasi pendidikan ini akan terus diperkukuh dengan kementerian memberi tumpuan tahun hadapan kepada persediaan guru bagi pelaksanaan kurikulum sekolah 2027.
Kurikulum tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 2026 di peringkat prasekolah, diikuti Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.
"Komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam mengurangkan beban tugas guru akan membolehkan pendidik memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk memperkukuh penguasaan pedagogi serta melaksanakan reformasi dengan berkesan di dalam bilik darjah.
"Kami mahu guru dapat menumpukan perhatian di bilik darjah, meningkatkan kualiti PdP dan melaksanakan reformasi dalam amalan pengajaran mereka," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek SMK Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Ujarnya, antara pencapaian utama reformasi pendidikan ialah penguatkuasaan pendidikan menengah wajib sehingga Tingkatan Lima menerusi kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025.
Langkah ini menjamin hak setiap kanak-kanak Malaysia untuk terus bersekolah dan mengelakkan keciciran selepas Tahun Enam.
Pada masa sama, KPM berjaya mengisi hampir sepenuhnya keperluan tenaga pengajar dengan pengambilan 52,948 guru baharu, iaitu mencapai kadar pengisian sebanyak 98 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh hampir sedekad.
Ini sekali gus memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lebih lancar di seluruh negara.

Graduan IPG yang akan membimbing generasi masa depan negara.
Dari segi keselamatan sekolah, Fadhlina berkata KPM sedang melaksanakan 11 inisiatif sekolah selamat secara serentak di seluruh negara, termasuk peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pelantikan 10,096 guru dan kaunselor baharu, serta 600 pembantu warden asrama.
Mengulas mengenai pemulihan pasca pandemik, beliau berkata kalendar persekolahan kebangsaan akan kembali bermula pada Januari bermula sesi akademik 2026, selepas empat tahun jadual persekolahan terganggu, selaras dengan keperluan ibu bapa dan guru.
Dalam pada itu, program intervensi literasi dan numerasi turut menunjukkan hasil positif dengan seramai 398,496 murid berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), meningkat daripada 326,051 murid sebelum pelaksanaan intervensi tersebut.
Dalam usaha mengurangkan beban tugas guru, pelaksanaan reformasi tugasan dilakukan merangkumi pelantikan 562 guru pembantu, penempatan 600 pembantu warden di bawah inisiatif Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP), penyediaan sokongan operasi di 281 sekolah menengah, serta penambahbaikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).
Dari aspek infrastruktur dan kesejahteraan murid, KPM mencatat kemajuan memberangsangkan dengan pembinaan 44 sekolah baharu dan penyiapan 44 projek sekolah daif menjelang 2025.

Fadhlina berkata, usaha memperluas pendidikan awal kanak-kanak juga diperkukuh melalui peluasan prasekolah Kementerian Pendidikan ke sekolah menengah kebangsaan, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus meningkatkan akses pendidikan awal di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Mengulas inisiatif menangani keciciran murid di kawasan pedalaman, beliau berkata peluasan sekolah K9 dan K11 berjaya mencapai kadar sifar keciciran, dengan murid kekal bersekolah sehingga menamatkan pendidikan menengah.
Mansuh SPLKPM
Selain itu, KPM turut melaksanakan satu inisiatif signifikan, iaitu memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) bagi mengurangkan beban tugas guru.
Keputusan tersebut ujar Fadhlina, dibuat hasil penilaian berterusan kementerian terhadap beban tugas guru serta maklum balas yang diterima daripada pendidik.
Fadhlina berkata, pemansuhan sistem itu bertujuan memberi ruang kepada guru untuk menumpukan sepenuhnya kepada pengajaran di bilik darjah, khususnya menjelang pelaksanaan kurikulum baharu dan pelan pembangunan pendidikan yang dijadualkan bermula tahun hadapan.
Kejayaan lain KPM
Cerita kejayaan KPM tidak sekadar berlegar sekitar reformasi pendidikan semata-mata.
KPM berjaya mengangkat pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada dianggap sebagai pilihan kelas kedua kepada laluan kerjaya yang lebih bernilai dan terjamin.
Inisiatif KPM telah memastikan 99 peratus graduan TVET mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, disokong dengan peningkatan 15 peratus dana Geran Per Kapita (PCG) TVET, semakan semula kadar PCG buat pertama kali dalam 22 tahun, serta peruntukan melebihi RM900 juta.
KPM juga telah meluaskan bantuan awal persekolahan sehingga ke Tingkatan 6, sekali gus memastikan pelajar di peringkat ini tidak lagi dianaktirikan. Buat pertama kali, mereka kini menerima bantuan yang selayaknya dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100 juta.

KPM terus komited memerkukuhkan reformasi pendidikan pada tahun hadapan.
Komited menghargai pendidik, KPM menaikkan elaun pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) daripada RM430 kepada RM530 sebulan, memberikan peningkatan RM100 setiap bulan.
Langkah ini bukan sahaja memberi ruang bernafas dan rasa dihargai kepada para pelatih sejak langkah pertama mereka memilih untuk mendedikasikan diri mendidik anak bangsa, malah turut menarik lebih ramai pelatih berkualiti memasuki sistem pendidikan negara.
Dalam pada itu, Baucar Buku Madani dilaksanakan bagi menggalakkan anak-anak mencintai ilmu.
Baucar diberikan sebanyak RM50 untuk murid Tahun 4 hingga Tahun 6, RM100 untuk murid sekolah menengah, pelajar IPT dan pelatih IPG, serta RM100 untuk semua guru.
Rancangan KPM 2026
Kesinambungan kejayaan sepanjang tiga tahun lalu akan diteruskan dengan KPM menetapkan enam langkah untuk memastikan perubahan terus bergerak.
1. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035
2. Kurikulum Baharu 2027 bermula di Prasekolah
3. Sebanyak 41 sekolah baharu dibina di kawasan kritikal untuk kurangkan isu sekolah padat dan jurang akses.
4. Sebanyak 520 projek sekolah daif diluluskan, iaitu sekolah uzur dibina semula supaya murid belajar dalam persekitaran yang selamat dan bermaruah.
5. 350 kelas prasekolah baharu gar lebih ramai kanak-kanak bermula dengan asas yang kukuh.
6. RM860 juta untuk penyelenggaraan sekolah termasuk tandas, kantin, musolla dan bilik guru
Secara keseluruhannya, dengan pengukuhan dasar, sokongan kepada guru, penambahbaikan infrastruktur dan pelbagai inisatif sampingan lain, usaha ini diyakini mampu membentuk ekosistem pendidikan yang lebih mampan dan berdaya saing untuk masa depan negara.


