BUNYI misteri seakan ketukan pintu pada pukul 4 pagi yang menghantui penduduk di Bertam, Pulau Pinang tiada kaitan dengan unsur mistik.
Sebaliknya bunyi berkenaan terhasil disebabkan kesan tekanan atmosfera dan suhu wilayah.
Seorang pengguna media sosial mendakwa fenomena tersebut lazimnya berlaku sekitar pukul 4.30 hingga 5.30 pagi, iaitu ketika suhu persekitaran berada pada tahap paling rendah.
Katanya, pada waktu sama, perubahan tekanan udara berlaku secara serentak dalam satu kawasan atau daerah.
"Keadaan ini memberi kesan kepada struktur bangunan seperti pintu besi, grill, pagar, bumbung serta longkang, yang akan mengalami proses pengembangan dan pengecutan secara mendadak.
"Akibatnya, struktur berkenaan boleh menghasilkan bunyi yang kedengaran seperti ketukan kuat atau hentakan," katanya.
Jelasnya, fenomena ini dikenali sebagai Atmospheric pressure–induced structural noise dan bukan kejadian luar biasa atau unsur mistik seperti sering disalah tafsir.
"Kejadian seumpama ini pernah direkodkan berlaku di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Perak," katanya.
Terdahulu tular di media sosial rakaman CCTV [Tonton Video] rumah penduduk di Bertam Perdana yang memaparkan bunyi ketukan pintu kediaman yang ia dikatakan berlaku serentak dengan kediaman lain.
Dalam rakaman berkenaan terlihat pintu pagar rumah tertutup rapat tetapi bunyi ketukan kuat di pintu hadapan menjadi tanda tanya memandangkan tiada kelibat manusia dilihat.
Ketukan misteri itu dikatakan didengari sekitar pukul 4 pagi ke atas dan sebelum itu pernah dilaporkan berlaku di kawasan Tasek Gelugor.


