suria

Ditakdir temui pengganti tak bermakna lupa saat suami pergi selamanya... wanita ini syukur jodoh baru selalu ingatkan selit doa buat arwah, tak macam bapa tiri!

(Gambar kiri) Izah masih menyimpan keratan akhbar berita kemalangan arwah suami, (gambar kecil) Izah dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan kedua dengan suami baru.

TANGGAL 12 Februari 2012 pasti menjadi tarikh yang tidak akan dilupakan oleh wanita ini seumur hidupnya.

Pada tarikh itulah, suaminya meninggal dunia kerana terbabit dalam satu nahas membabitkan kereta dan lori ketika dalam perjalanan menghantar rakan, di Jalan Pontian-Kukup, Pontian, Johor.

Sungguhpun tragedi tersebut telah 10 tahun berlalu, namun ia sama sekali tidak luput daripada memori wanita ini apatah lagi ketika itu, dia dan suami sudah lapan tahun menjalani hidup bersama dan dikurniakan tiga cahaya mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah tawar hati cari pengganti selepas suami pergi selamanya, ibu tunggal tak sangka BFF arwah jodoh buatnya... cara si dia layan Haddad jadi asbab

ARTIKEL BERKAITAN: Tak macam bapa tiri langsung! Empat tahun menyendiri, kata-kata arwah nenek ubah segalanya demi anak-anak - “Saya pula dikata macam mak tiri”

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Izah berkata, perkongsiannya di laman sosial mengenai tragedi yang menimpa arwah suami, Abdul Rahim, sekadar untuk mengimbas memori duka yang pernah tercatat dalam kamus kehidupannya.

"Saya simpan keratan akhbar berita kematian arwah suami sampai sekarang. Masa arwah meninggal dunia, anak-anak saya kecil lagi iaitu tujuh tahun, lima tahun dan setahun lebih. Hanya yang sulung saja tahu membaca.

"Saya simpan ia sebagai kenangan dan mahu bagi anak-anak baca bila mereka dah besar.

"Tanggal 12 Februari baru-baru ini genap 10 tahun pemergian arwah dan saya kongsi satu video mengenai tragedi itu di TikTok kerana nak mengimbas kembali detik duka itu," kata wanita berusia dalam lingkungan 40an ini.

Berkongsi mengenai tragedi tersebut, Izah berkata masih segar dalam ingatannya ketika dia menerima panggilan sekitar pukul 3 pagi daripada adik ipar memaklumkan suaminya kemalangan.

arwah suami

Izah bersama tiga anak-anaknya bersama arwah suami.

"Adik ipar tak beritahu keadaan suami dan hanya minta saya ke hospital. Sepanjang perjalanan ke hospital, saya berdoa moga tiada apa-apa yang serius.

"Tapi bila sampai, saya boleh agak situasi arwah agak teruk sebab ahli keluarga menangis dan lihat petugas hospital pun kalut. Apabila diberitahu suami meninggal dunia, rasa macam kaki tak jejak tanah. Kosong dan tergamam," ceritanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Mengakui peritnya kehilangan suami ketika anak-anak masih kecil, Izah berkata dia mengambil masa enam bulan untuk bangkit membina kembali semangatnya yang hilang.

Tidak pernah terlintas dalam mindanya untuk mencari pengganti ketika itu kerana tumpuannya hanyalah bekerja mencari rezeki untuk membesarkan tiga anak perempuannya.

kubur

Izah dan anak-anaknya sering meluangkan masa menziarahi pusara arwah di Pontian.

Namun takdir Tuhan, dia dipertemukan dengan seorang lelaki yang mampu menerima diri dan anak-anaknya dengan hati terbuka, dua tahun selepas pemergian arwah suami.

"Kami hanya berkawan biasa, tapi tengok penerimaannya, caranya dengan anak-anak, saya terbuka hati. Sebelum ambil keputusan untuk berkahwin semula, saya fikir anak-anak.

"Bagi saya, kalau ada jodoh, biarlah Allah temukan dengan orang yang terima anak-anak. Allah makbulkan permintaan itu. Tak perlu berharta, cukup dapat terima anak-anak sebab anaklah harta saya.

"Sepanjang lapan tahun hidup dengan suami baru, anak-anak tak anggap dia macam bapa tiri. Macam bapa kandung juga. Apa-apa tak dapat dekat saya, mereka minta pada ayah.

Bagi saya, kalau ada jodoh, biarlah Allah temukan dengan orang yang terima anak-anak. Allah makbulkan permintaan itu.

IZAH

"Saya selalu bercerita dengan mereka pasal arwah sampai sekarang. Setiap kali balik kampung di Pontian, kami pasti ke kubur. Kadang-kadang bila lama tak balik, mereka yang request nak pergi kubur," ujarnya yang dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan keduanya.

Sama sekali tidak menyangka perkongsiannya meraih sehingga melebihi 522,000 jumlah tontonan, Izah berkata dia sebak membaca komen netizen yang turut sama pernah merasai keperitan kehilangan insan bergelar suami.

"Tapi ada pula yang komen seolah-olah saya tak jaga hati suami sekarang. Sebenarnya, suami saya yang benarkan buat perkongsian itu. Dia tahu arwah pernah hadir dalam hidup saya dan kini arwah telahpun di negeri abadi.

suami baru

Izah bersyukur bertemu pengganti yang menerima diri dan anak-anaknya seadanya.

"Dia juga yang selalu nasihatkan saya agar tak lupa selit doa untuk arwah setiap kali solat.

"Ada juga yang komen soal bertemu pengganti. Jujurnya, jodoh di tangan Tuhan... siapa kita nak menidakkan ketentuan Tuhan?

"Saya bersyukur kerana Allah hadirkan insan yang baik selepas arwah. Ada yang komen, nanti tak boleh dah jumpa arwah di 'sana' sebab kahwin lain. Tapi saya tetap berdoa, moga ada peluang untuk bertemunya di sana kelak," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain