suria

Doktor dedah kisah didatangi ‘lelaki tersepit’... umur dekat separuh abad, dah ada anak bini tapi masih terfikir nak lari rumah

Seorang lelaki berkongsi masalahnya sehingga pernah terfikir untuk lari dari rumah sendiri. -gambar hiasan

LAIN pesakit, lainlah masalah dan ragamnya. Apa yang pasti, setiap daripada mereka pasti ada sesuatu yang mahu diluahkan kepada doktor bagi mendapatkan pencerahan.

"Saya tersepit, doktor."

Begitulah luahan seorang pesakit lelaki berusia 45 tahun kepada seorang doktor, menerusi satu perkongsian beliau di halaman Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor rasa bersalah selepas tengking anak main tepung, terimbas perasaan hilang tempat bergantung - "Perangai mereka adalah cerminan perangai kita"

ARTIKEL BERKAITAN: Ini 5 nasihat buat suami, mat bujang - "Kalau jumpa orang tulis pasal nasihat untuk isteri, kau jangan tag"

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, pesakit tersebut mengadu dirinya sentiasa berdebar, mengantuk tetapi mata tidak boleh lelap, sentiasa lesu dan tiada fokus apabila bekerja.

"Dia juga mengaku ada pernah terfikir nak lari rumah. Mula-mulanya terkejut juga. Bayangkan, lelaki berumur 45 tahun, ada anak bini, ada ibu bapa, ada kerja, tapi nak lari dari rumah sendiri.

"Aneh, kan? Namun apabila saya siasat elok-elok, saya nampak apa masalahnya. Saya faham mana datangnya niat nak lari rumah tu," katanya.



Seorang pesakit lelaki yang berdepan dengan masalah. foto facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan

Berkongsi pengalaman, doktor perubatan rehabilitasi itu menjelaskan bahawa pesakit lelaki tersebut bukan tersepit secara fizikal, tetapi disebabkan keadaan serta komitmennya.

"Dia tersepit antara tanggungjawab sebagai seorang anak dan sebagai seorang bapa. Bebanan memikul tanggungjawab berganda itu buat dia sangat stres, dan dia mula ada tanda-tanda awal kemurungan.

"Stres adalah sesuatu yang mudah berlaku kepada generasi sandwich seperti lelaki ni. Ia juga boleh menjadi punca kemurungan," katanya.

Menurut Dr Kamarul, generasi sandwich adalah generasi yang dihimpit tangggungjawab menjaga generasi sebelum dan selepasnya.

Tambah beliau, individu yang tergolong dalam generasi itu adalah individu berusia 40 hingga 50an yang perlu menanggung ibu bapa berusia 60 hingga 80an dan anak-anak berusia 15 hingga 20an.

"Generasi ini terbentuk apabila berlaku anjakan pada perkembangan kesihatan dan sosioekonomi negara (dan dunia).

"Anak-anak zaman sekarang lazimnya mula bekerja lambat kerana menyambung pelajaran. Umur 25 masih belajar, makan minum dan perbelanjaan harian masih ditanggung oleh ibu bapa.

"Selain itu, jangka hayat rakyat Malaysia pun semakin panjang. Warga emas yang sudah sudah tidak bekerja ni perlu ditanggung juga, dan lazimnya perlukan perhatian yang lebih terutamanya dari aspek kesihatan," katanya.



Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Oleh itu, jelas beliau, generasi sandwich terdedah kepada tekanan hidup yang tinggi kerana perlu memastikan memikul tanggungjawab memberi sokongan kewangan, perlindungan, kesihatan dan emosi kepada ibu bapa, diri dan pasangannya, serta anak-anak.

"Satu rumah, penghuninya tujuh hingga 10 orang. Kena kerja dua pekerjaan. Suami isteri kena kerja. Setiap hari kena kerja kuat untuk pastikan semuanya cukup, sehingga tiada masa untuk diri sendiri.

"Itu yang ada terfikir nak lari rumah, nak lari dari tangggungjawab, kerana dah tak tertanggung lagi bebannya tu. Hal ini juga menyebabkan ada kes anak-anak terabai, warga emas terbiar, rumah tangga cerai berai, kemurungan dan sebagainya.

Stres adalah sesuatu yang mudah berlaku kepada generasi sandwich seperti lelaki ni. Ia juga boleh menjadi punca kemurungan

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

"Jika kita anak, kasihanilah ibu bapa kita. Jika kita ibu bapa, kasihanilah anak-anak kita. Jangan lupa kasihani diri sendiri juga. Diri kita ni pun sama penting dengan ibu bapa dan anak kita. Kena saling menjaga, kena saling memahami dan mengasihani.

"Orang selalu cakap, orang zaman sekarang ni tak kental macam orang dulu. Pada saya, bukan orang zaman sekarang ni lemah, tetapi zaman ini memang penuh dugaan. Dugaan yang baharu. Dugaan yang dulu tiada. Tak adil kita bandingkan," katanya.



Antara perkongsian Dr Kamarul.

Sehubungan itu, Dr Kamarul menasihatkan semua pihak agar tidak mudah melabel seseorang itu sebagai lemah dan tiada ketahanan dalam menghadapi cabaran sekiranya ternampak orang mengeluh, mengadu, atau meluah perasaan di media sosial.

"Tak usah cepat kecam. Tak usah mudah generalisasikan. Ketahuilah, ada insan-insan di luar sana yang dah sehabis kudrat cuba untuk tampung hidup sendiri dan semua yang di bawah tanggungnya, atas dan bawah, kiri dan kanan.

"Bila mereka mengeluh tu, ada kalanya bukan kerana tak bersyukur, tetapi meminta bantuan. 'A cry for help' kata orang putih.

"Apabila di hadapan kita ada orang yang meminta bantuan, tetapi kita tak menyedari permintaan itu, maka kitalah orang yang gagal dalam ujian hidup ini. Lebih-lebih kalau kita pergi kecam pula permintaan itu. Kita kutuk, kita hina.

"Sebenarnya kita sama-sama diuji. Mereka diuji dengan kesusahan dan kita diuji dengan kesenangan. Jika kita pinjamkan sikit kesenangan kita untuk kambus sikit kesusahan mereka, kita sama-sama akan lulus ujian ini," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain