suria

“Doc ke influencer potong line tu?” – Kecoh dikatakan jadi penerima awal vaksin Covid-19, Dr Say dedah cerita sebenar

Dr Say ketika menjalani housemanship di Hospital Serdang (kiri) dan penampilan terkini (kanan). foto instagram Say_Shazril

MEDIA sosial kecoh mengenai laporan yang mendakwa Hospital Serdang mengutamakan 'influencer' sebagai antara penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Kekecohan itu menyebabkan pengurusan kanan hospital dipersoal kerana dikatakan dilihat tidak membantu menaikkan semangat kakitangan barisan hadapan hospital tersebut.

Timbul tanda tanya dalam kalangan netizen sehingga nama doktor selebriti, Dr Say Shazril yang juga Instafamous dikaitkan sebagai antara tiga 'influencer' berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak sangat merasa masuk zon merah Covid-19, persoalan Dr Say akhirnya terjawab - "Ibarat zon perang dengan kawat berduri... cukup menyeramkan"

ARTIKEL BERKAITAN: PM jadi individu pertama disuntik vaksin Covid-19 di Malaysia

"Doc ke influencer potong line tu?" antara persoalan yang dibangkitkan netizen memandangkan Dr Say merupakan influencer di media sosial dan mengikut rekod, Dr Say pernah berkhidmat sebagai doktor pelatih (houseman) di Hospital Serdang, beberapa tahun lalu.



Dr Say di Dewan Bersalin, Hospital Serdang.

Dr Say atau nama sebenarnya Dr Muhammad Shazril Shahruddin tampil menjelaskan bahawa beliau berhasrat untuk menggalakkan lebih ramai menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu.

"Terus-terang saya cerita, kalau boleh, memang saya nak sangat dapatkan vaksin Covid-19 ni seawal mungkin dengan niat agar saya dapat galakkan lebih ramai sertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Tapi saya sedar kedudukan saya. Walaupun saya seorang doktor, saya tiada direct contact (urusan secara langsung) dengan pesakit Covid-19.

"Kat klinik yang saya biasa locum (doktor pengganti), saya berurusan kebanyakan kes sakit kepala, sakit senggugut, demam biasa dan demam nak MC (cuti sakit), terjumpa pesakit Covid-19 jarang sekali," tulis doktor berusia 32 tahun itu di laman Instagram beliau.

Terus-terang saya cerita, kalau boleh, memang saya nak sangat dapatkan vaksin Covid-19 ni seawal mungkin dengan niat agar saya dapat galakkan lebih ramai sertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

DR SAY SHAZRIL

Dr Say yang merupakan pengacara program Tanya Doktor dan My Doctors berpendapat adalah tidak adil kepada kumpulan frontliners yang mengendalikan kes-kes Covid-19 jika dirinya menjadi salah seorang daripada individu terawal menerima vaksin tersebut.

"Jadi saya sedar kalau saya nak minta vaksin awal pun tidak adil kepada mereka yang betul-betul berdepan dengan Covid-19 setiap hari.

"Kalau ikutkan saya dan isteri termasuk dalam kumpulan Fasa 1 tapi memandangkan isteri hamil maka dia tak dibenarkan ambil vaksin," kata beliau yang merujuk fasa pertama yang melibatkan kumpulan petugas barisan hadapan.

Jelas Dr Say lagi, beliau akan menunggu gilirannya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 apabila tiba masanya nanti.



Petugas kesihatan membuat persediaan untuk suntikan vaksin Covid-19. foto AZHAR MAHFOF/The Star

"Apa yang saya boleh lakukan sekarang adalah hanya menunggu giliran saya. Bila tiba harinya, dengan bangganya akan saya post di Instagram ni sebab tak sabar gila nak dapatkan vaksin ni.

"Menjawab soalan hangpa, saya bukan influencer nak potong line tu. DG (Ketua Pengarah Kesihatan) dah beritahu so called influencers tu adalah ketua jabatan Hospital Serdang mereka sendiri untuk menggalakkan staf frontliners mereka mengambil vaksin Covid-19. Cukup-cukuplah sebar berita palsu ni, hangpa tak penat ke?" katanya.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah membuat penafian dengan menyifatkan laporan berita itu sebagai palsu dan tidak benar.

Beliau berkata, semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak hospital tersebut bercadang untuk memberi vaksin Covid-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain frontliners yang lain.

"Ketua jabatan klinikal merupakan pakar perunding klinikal bidang masing-masing dan sememangnya terdedah kepada risiko Covid-19 dan kerap mempunyai kontak dengan pesakit mahupun waris semasa menjalankan tugasan.

"KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ingin menegaskan bahawa pemberian vaksin akan diberi mengikut keutamaan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Isu 'memotong barisan' (cutting queue) bagi mendapatkan vaksin adalah tidak dibenarkan dan ia akan disiasat untuk tindakan," tegas Dr Noor Hisham.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain