suria

Dugaan pengantin 3 bulan... isteri tak cepat melatah periksa dompet suami, diam-diam selit duit! - “Dia minta maaf tak mampu beri yang terbaik”

Tindakan si isteri menyelit duit dalam dompet suami mencuri perhatian orang ramai

BERTUAHNYA si suami dikurniakan isteri sebaik ini.

Biarpun dalam kesibukan dan kepenatan menguruskan rumah tangga, hadirnya seorang isteri yang cukup memahami ini ternyata membawa seribu makna dalam rumah tangga.

Begitulah gambaran pengorbanan si isteri terhadap suami tercintanya yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Disember lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah tahu rupa bentuknya, isteri hadiah kereta Audi untuk suami selepas 11 tahun guna Kancil ‘barai’ - “Kerja jual ayam ni kan penat...”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami terlalu baik... isteri diam-diam ‘hadiah’ kan bini baharu untuknya, kini bahagia tinggal sebumbung

“Dalam kehidupan berumah tangga sekarang ini kita suami isteri perlu saling bantu membantu. Suami tidur jadi saya check dompet dia, tinggal berbelas ringgit sahaja. Jadi diam-diam saya letak dalam dompet dia duit sikit untuk berulang alik kerja dan isi minyak. Tak salah bantu meringankan beban suami yang telah berusaha sebaik mungkin mencari rezeki, ” tulisnya dalam sebuah video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Ketika dihubungi mStar, wanita berkenaan, Julaiha Abd Aziz, 32 berkata dia langsung tidak menyangka perbuatannya itu akan mencuri perhatian orang ramai kerana baginya apa yang dilakukan itu tidaklah sebesar mana pun.

Kiri dompet suami yang tinggal hanya berbelas ringgit dan kanan isteri berkongsi rezeki bersama suami.

Julaiha atau lebih mesra disapa Amoy memberitahu niatnya membuat video itu hanyalah suka-suka sahaja dan apabila menjadi tular dia sejujurnya tidak tahu bagaimana untuk memberi maklum balas..

Video tersebut sehingga kini meraih 62,000 likes dan 2,000 komen dalam kalangan netizen yang kebanyakannya memuji tindakan wanita ini.

Tak sangka pula ramai yang terkesan dengan perkongsian video itu dan banyak pula komen yang saya terima.

AMOY

“Dengan rendah hati saya rasa apa yang saya buat ini kecil sangat. Saya percaya ramai lagi perempuan di luar sana yang berkorban lebih banyak lagi.

“Saya tidak pernah mengharapkan video yang dimuat naik saya di aplikasi TikTok untuk viral. Apa yang saya kongsi itu suka-suka sahaja.

“Tak sangka pula ramai yang terkesan dengan perkongsian video itu dan banyak pula komen yang saya terima. Bangun pagi rasa telefon saya macam kena bom, ” ujarnya.

Amoy dan suaminya iaitu Muhd Zamry Hashim, 36 baru sahaja mendirikan rumah tangga tiga bulan lalu setelah lima tahun mengenali antara satu sama lain.

Becerita lanjut mengenai kejadian tersebut, Amoy yang menetap di Larkin, Johor Bahru berkata pada malam Selasa lalu ketika suaminya sedang tidur itu, dia secara senyap membuka dompet suaminya untuk melihat baki wang yang tinggal.

Amoy bersama satu-satunya cahaya mata lelaki yang kini berusia lapan tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Apabila melihat hanya tinggal berbelas ringgit, hatinya jadi sayu dan terus cakap pada dirinya mungkin ini ujian baru kahwin.

“Ini merupakan perkahwinan kedua saya. Saya faham asam garam dalam rumah tangga sebab itu saya terdetik nak buka dompet suami malam tu.

“Naluri sebagai seorang isteri ini kuat sangat. Tanpa rasa apa-apa, saya terus ambil sekeping RM50 selit dalam dompet suami. Tak salah bantu suami, lagi luas rezeki kita dan besar pahala.

“Mungkin dengar macam tak logik tetapi suami saya ini sebenarnya tak ada akaun bank. Dia sekarang hanya bekerja sebagai buruh kasar dan sebelum ini hanya tolong adiknya di sebuah kedai makan.

Amoy bekerja sebagai seorang kerani di salah sebuah hotel kawasan Larkin, Johor Bahru.

“Gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan teruk dan kedai pun terpaksa tutup sementara waktu, ” ujarnya lagi.

Tambah Amoy lagi, setelah suaminya pulang kerja keesokan harinya, suaminya menunjukkan reaksi yang sangat menyentuh hati.

“Dia terharu sangat dengan pengorbanan yang saya lakukan ini. Katanya, besar bagi dia dan sekali gus meminta maaf kerana masih tidak mampu memberikan yang terbaik, ” katanya.

Dalam pada itu, Amoy yang bekerja sebagai kerani di sebuah hotel di Johor Bahru berkata, dia langsung tidak rasa terbeban dengan keadaan sebegini biarpun mempunyai tanggungjawab membesarkan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Darwish Danial, 8, hasil perkahwinan sebelum ini.

“Ujian hidup ini adalah untuk menguji tahap kesabaran dan ketakwaan seseorang itu. Sebagai manusia biasa mungkin kadang kala kita mengeluh tetapi sentiasa ingatlah bahawa ada hikmah di sebalik semua ini, ” katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain