suria

Demi 6 anak, bapa OKU sanggup cari helah... sakan shopping barang rumah, hakikatnya tak ada duit sesen pun! - “Saya biarkan tuan kedai mengira macam biasa”

Sepasang suami isteri menyara kehidupan keluarga mereka dengan menjual kuih muih.

"SAYA pernah terputus barang dapur... saya tak tau nak buat macam mana. Nak pinjam dekat orang, saya malu."

Demikian luahan kata-kata seorang bapa yang berkongsi kisah keperitan hidupnya sehingga pernah ketiadaan wang untuk membeli makanan buat anak-anak dan isterinya.

Pernah satu ketika, si bapa berusia 41 tahun ini terpaksa 'berhutang' di kedai runcit kerana tidak sanggup melihat keluarga, terutama anak-anak kecilnya berlapar.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapur lantai tanah, langsir pisahkan bilik... sikit pun tak geli jejak rumah daif 6 sekeluarga ini - “Susunan baju melambangkan disiplin kuat”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal 5 anak dihalau suami! Merempat di masjid di Selangor sebelum tumpang homestay di Kedah berbekal RM100 - “Anak umur 14 tahun kerja tukang cuci”

"Saya pergi kedai barang, saya ambil beras lima kilo, sardin, susu anak, telur dan ikan bilis. Saya biarkan tuan kedai mengira macam biasa. Lepas dia bagitau harga, saya terus seluk poket dan buat-buat duit tertinggal di rumah," katanya.

Kisah keluarga berkenaan diceritakan oleh seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu menerusi satu perkongsian di Facebook yang sehingga kini meraih melebihi 200 shares.



Selain membuat kuih, si isteri juha mengambil upah menjadi tukang masak di sebuah tahfiz.

Menurut Natipah yang menyantuni keluarga berkenaan bersama pasukannya yang aktif melakukan aktiviti kebajikan, bapa kepada enam orang anak berusia dalam lingkungan tiga hingga 18 tahun itu berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dan kehilangan kerja baru-baru ini.

"Kecacatan yang dipercayai berpunca daripada masalah saraf itu terjadi sejak dia masih kecil dan tidak boleh dirawat lagi. Justeru itu pandangannya hanyalah samar-samar dan jika jauh, dia langsung tidak nampak.

"Sebelum ini dia pernah berkerja sebagai seorang tukang urut dan mempunyai pengalaman mengurut selama lebih kurang 15 tahun. Pendapatannya bekerja dengan majikan dari jam 10 pagi sehingga jam 6 petang ialah sekitar RM40.



Keluarga ini hanya menyewa sebuah rumah kampung dengan kadar RM200 sebulan.

"Bagaimanapun sekarang dia hilang pekerjaan dan sekadar membantu isterinya yang berusia 39 tahun membuat kuih di rumah. Sudah enam tahun isterinya membuat kuih.

"Selain menerima tempahan, kuih itu juga diletak di warung atau gerai makan di sekitar kawasan rumah mereka, sebuah rumah kampung yang disewa dengan kos RM200 sebulan. Isterinya juga mengambil upah menjadi tukang masak di sebuah tahfiz (lapan pelajar) dengan upah RM10 sehari," cerita Natipah.

Tambahnya, dua orang lagi anak pasangan tersebut yang kini berumur sembilan dan enam tahun turut mengalami masalah penglihatan.

"Pada 2016, kedua beradik itu telah menjalani pembedahan di HKL dan memakai kanta khas di dalam mata," kata Natipa yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam lapangan kebajikan dan misi kemanusiaan.

Kecacatan yang dipercayai berpunca daripada masalah saraf itu terjadi sejak dia masih kecil dan tidak boleh dirawat lagi.

NATIPAH ABU

AKTIVIS MASYARAKAT

Menurut Natipah, lelaki berkenaan turut meluahkan rasa terkilan kerana dipandang serong dan dilemparkan kata-kata kurang manis oleh penduduk setempat seolah-olah dia malas bekerja sedangkan penglihatannya membatasi pergerakan untuk keluar bekerja.

Keadaan tersebut membuatkan dia berasa rendah diri dan kurang bersosial dengan masyarakat setempat.

Sungguhpun keluarga ini serba kekurangan, menurut Natipah, anak-anak pasangan berkenaan mempunyai potensi yang tinggi dalam pelajaran.

"Anak perempuan sulung (18 tahun) sedang belajar di sebuah kolej matrikulasi. Yuran pendaftaran kemasukan anak itu ke kolej tempoh hari juga adalah hasil sumbangan kita di sini," ujarnya.

Justeru kata Natipah, perkongsian tersebut dibuat bagi mengumpul sumbangan orang ramai yang akan digunakan sebagai modal berniaga agar keluarga berkenaan dapat menjana pendapatan untuk menyara kehidupan.



Natipah (kiri) berpengalaman lebih 10 tahun dalam lapangan kebajikan dan kemasyarakatan.

"Anak-anak masih di alam persekolahan, perjalanan mereka masih panjang.

"Kita akan menyediakan sebuah gerai agar keluarga ini boleh berniaga dan ada pendapatan sendiri selain hasil jualan kuih isteri.

"Semoga dengan sifat ringan tulang mereka akan membantu merubah nasib keluarga," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p


Artikel Berkaitan

Artikel Lain