suria

Dapur lantai tanah, langsir pisahkan bilik... sikit pun tak geli jejak rumah daif 6 sekeluarga ini - “Susunan baju melambangkan disiplin kuat”

Beginilah keadaan rumah yang didiami enam beranak di Baling, Kedah yang ditemui Natipah. Sungguhpun serba kekurangan namun tetap mementingkan kebersihan. Foto: Natipah Abu

"DATANGLAH pada bila-bila masa pun, rumah ini memang sentiasa bersih dan kemas."

Demikian kata seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu mengenai keadaan sebuah rumah milik pasangan suami isteri muda yang dikongsikannya di laman Facebook.

Menurut wanita berusia 47 tahun ini, kunjungan ke rumah tersebut yang dibuat selepas dimaklumkan oleh komuniti setempat baru-baru ini nyata membuatkan dirinya kagum dengan sikap cermat dan pembersih keluarga berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua bulu menegak, meremang...” - Tandas tak ada pintu, jalan pun kena bongkok, aktivis terkesima lihat rumah orang miskin bersih gila!

ARTIKEL BERKAITAN: 20 tahun tinggal di longgokan sampah, keluarga daif dapat kehidupan baharu selepas 2 jam Ebit Lew tiba - “Kita satu bakul sampah cepat buang ke luar”

"Biarpun dapur cuma berlantaikan tanah, namun dijaga bersih. Ada ruang basuhan di hujung dapur tetapi tiada sebarang bau yang kurang menyenangkan pun.

"Ruang ibu rumah daripada batu bata dibuat sendiri seadanya dan hanya langsir menjadi pemisah bilik.

"Jarang sekali kita temui rumah yang daif sebersih ini. Inilah syurga pasangan muda yang mempunyai empat orang cahaya mata berumur antara satu dan sembilan tahun," katanya bercerita mengenai keluarga yang ditemuinya di Baling, Kedah itu.



Dapur rumah pasangan muda ini yang hanya berlantaikan tanah, namun tetap bersih.

Selain keadaan dapur yang dijaga dengan bersih dan cermat, Natipah juga kagum melihat susunan barangan di dalam rumah tersebut sunggug pun tidak dipenuhi dengan perabot yang mewah.

"Apa yang ada di dalam rumah ini juga pemberian orang yang diterima dengan besar hatinya oleh mereka suami isteri.

"Rasa kagum kerana walaupun dalam keadaan serba kekurangan, mereka mampu mendidik jiwa agar tidak kufur dengan nikmat yang ada.



Tanpa perabot mewah, namun susun aturnya cukup kemas.

"Susunan kain baju melambangkan mereka punya disiplin yang kuat sesama ahli keluarga. Kalau mak saja susun tapi anak-anak selerakkan pun tak jadi juga. Pendek kata, miskin bukanlah alasan untuk hidup dalam keadaan kotor," katanya yang berasal dari Kuala Ketil kepada mStar.

Natipah juga berkata walaupun dikategorikan kurang berkemampuan, namun pasangan berkenaan tetap menitikberatkan pendidikan anak-anak.

Rasa kagum kerana walaupun dalam keadaan serba kekurangan, mereka mampu mendidik jiwa agar tidak kufur dengan nikmat yang ada.

NATIPAH ABU

AKTIVIS MASYARAKAT

"Selalu orang miskin suka cicir sekolah tapi tidak mereka. Anak tidak kandas sekolah. Walaupun suami isteri ni masih muda tapi mereka punya sikap yang bertanggungjawab," ujarnya.

Berpengalaman 10 tahun dalam lapangan kebajikan dan misi kemanusiaan, Natipah berkata perkongsian tersebut dibuat bagi mengumpul sumbangan orang ramai sebagai membiayai kos baik pulih demi menyediakan sebuah dapur yang selesa buat keluarga ini.



Inilah syurga buat pasangan muda ini dan empat anak mereka.

"Si suami baru saja dua minggu bekerja di sebuah kedai welding dengan gaji hari. Sebelum ini, dia bekerja di sebuah kedai welding di bandar dan dibayar RM50 sehari.

"Bila ditanya tentang gaji di tempat baru, beliau menjawab dengan nada yang perlahan 'jujur saya cakap, saya takut nak tanya tentang gaji. Takut nanti taukeh tak mau terima saya pula'.



Natipah (kiri) aktif sebagai aktivis masyarakat sejak 10 tahun lalu.

"Hajat dipanjangkan untuk kita membantu menyiapkan ruang dapur rumah pasangan ini termasuk pendawaian dan penyambungan bekalan elektrik.

"Mudah-mudahan dengan berkat sedekah kita ini akan memberikan kediaman yang lebih selesa buat mereka anak beranak," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain