suria

Nak pergi kerja, motosikal Y15 lesap! Lelaki ini lega tracker beri petunjuk tepat - “Saya dengar orang sedang bertukang dalam tu”

Mangsa menjejaki motosikal miliknya sebelum polis membuat serbuan pada Isnin pagi, sekitar dua jam selepas ia hilang.

BAGAIKAN satu pelaburan yang cukup berbaloi.

Begitulah kisah melibatkan seorang pemuda apabila penjejak yang dipasang pada motosikal jenis Yamaha Y15 miliknya berjaya menyelesaikan kes kecurian pada Isnin pagi.

Menurut Wan Haziq Azri Wan Mahazir, 24, dia menyedari kehilangan motor itu sewaktu mahu keluar ke tempat kerja pada hari berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali motor kena rembat, pemuda ini siap bersemuka dengan pencuri - “Ingat kedai angkut, tapi tak ada tunggakan”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri kental tunggang motosikal dari KL-Ipoh, suami kagum drive ikut dari belakang - “Kalau boleh jalan mesti aku bawa motor tu”

Namun siapa sangka, penjejak yang dipasang sejak motosikal itu dibeli November tahun lalu membolehkan ia ditemui dalam tempoh dua jam sahaja.

"Saya tengah siap-siap nak pergi kerja, dalam pukul 7 pagi. Terkejut tengok motor tak ada kat depan rumah. Mula-mula saya cari juga, takut ada yang alihkan.

"Kemudian saya teringat GPS tracker yang dipasang pada motor. Saya semak pakai aplikasi di telefon, tengok motor dah ada kat tempat lain.

"Jadi saya dengan kawan pergi ke kawasan disyaki itu, dalam 800 meter dari rumah. Saya tengok ada rumah yang agak kosong dan dengar ada orang sedang bertukang dalam tu.

Suspek yang berjaya diberkas polis dalam serbuan pada Isnin pagi.

"Saya hubungi polis tapi mereka minta datang buat laporan dahulu. Saya tunggu di situ sementara kawan saya ke balai, kemudian polis datang serbu dan ternyata memang betul ia merupakan tempat suspek menyembunyikan motor saya," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Haziq, dia yang menetap di Bandar Kinrara 5, Puchong, Selangor, mengakui bersyukur apabila motosikal miliknya berjaya dijejaki.

Sewaktu serbuan, seorang suspek berada dalam kediaman berkenaan bersama tiga rangka motosikal termasuklah Y15 miliknya yang sudah pun dileraikan.

Lagi sedih sebab pelaku tu sama bangsa dengan saya. Tambah lagi sekarang zaman susah, pendapatan terjejas sebab Covid-19.

WAN HAZIQ AZRI WAN MAHAZIR

"Suspek tu kata dua orang yang buat kerja. Seorang yang curi, manakala dia yang buka bahagian motor. Sewaktu serbuan hanya ada dia seorang.

"Saya rasa bersyukur dapat jumpa balik motor tu. Tak rugi saya pasang tracker dengan harga RM310 termasuk dengan upah pasang sewaktu mula-mula beli motor dulu.

"Memang sedih masa mula-mula tahu hilang. Sebab motor tu saya guna untuk keluar cari rezeki.

Antara barangan lain yang turut ditemui dalam kediaman itu.

"Lagi sedih sebab pelaku tu sama bangsa dengan saya. Tambah lagi sekarang zaman susah, pendapatan pun terjejas disebabkan Covid-19.

"Motor dah jumpa, tapi saya tak boleh guna sebab ia dijadikan sebagai bahan bukti. Nasib baik saya ada kereta.

"Kalau orang yang kena curi tu hanya ada motor je, lagi kesian," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, posting Haziq mengenai kisah penemuan motosikal curi dalam tempoh dua jam itu turut mencuri perhatian ramai di Twitter.

Selain menerima lebih 16,600 ulang kicau (Retweet), Haziq turut menerima banyak pertanyaan mengenai cara pemasangan penjejak berkenaan oleh netizen khususnya pemilik motor.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain