suria

Bawa 4 kucing naik motor, ingatkan nak buang... tapi kata-kata warga emas buat remaja ini tersentuh - “Tak sempat tanya lebih, lampu dah hijau”

Hijjaz membuat perkongsian di Twitter gara-gara tersentuh dengan seorang lelaki warga emas yang begitu penyayang terhadap haiwan peliharaannya.

APA yang bermain di fikiran anda jika terlihat seseorang membawa kucing menaiki motosikal?

Pasti situasi tersebut menimbulkan 1001 persoalan dan juga tanggapan di minda kerana ia jarang-jarang dibuat orang.

Begitulah halnya dengan seorang remaja ini apabila terserempak dengan warga emas lelaki yang membawa kucingnya 'bersiar-siar' menaiki motosikal. Bukan seekor tetapi empat semuanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan terkejut rider wajah ganas bawa ‘peneman’ pergi kerja – “Macam gangster yang sayang sangat mak dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Nota ditinggalkan rider jawab punca kematian kucing kesayangan, apa yang ditulis buat air mata pemilik gugur kali kedua

Remaja tersebut turut membuat perkongsian di Twitter dan memuat naik gambar kucing-kucing yang dibawa oleh warga emas itu yang diletakkan dalam sangkar yang diikat kemas pada bahagian belakang motosikalnya.

Sehingga kini perkongsiannya meraih 10,200 retweet dan 18,900 likes.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, remaja bernama Zulhijjaz Fikri ini berkata dia pada mulanya turut pelik apabila melihat situasi tersebut malah menyangka lelaki warga emas itu mahu membuang kucing-kucingnya.



Posting yang dikongsi oleh Hihhaz menyentuh hati netizen.

"Masa itu motor kami sebelah menyebelah ketika sedang berhenti di lampu isyarat dekat Bukit Gambir, Johor. Mak yang bawa, saya pula membonceng. Bila tengok kucing-kucing ni, saya ingat pakcik tu nak pergi buang.

"Saya ni pula jenis ramah, jadi saya pun tanya pakcik tu 'kenapa bawa kucing?' Tapi jawapan yang diberi terus buatkan saya tersentuh.

"Dia kata dia saja je bawak sebab bosan duduk seorang dekat rumah. Saya nak tanya lebih lanjut tapi tak sempat sebab lampu dah hijau," cerita remaja berusia 16 tahun ini.



Hijjaz berhasrat untuk bertemu kembali dengan lelaki warga emas berkenaan.

Terkesan dengan situasi yang dilihatnya itu, remaja yang senang disapa Hijjaz ini berkata dia kemudian membuat perkongsian di Twitter untuk berkongsi cerita dengan pengikutnya.

"Apa yang terlintas di hati pada ketika itu adalah merasakan pakcik ini sangat-sangat baik. Dalam masa yang sama, timbul juga perasaan kasihan sebab pakcik ni kata dia tinggal sorang dekat rumah.

Saya hanya doakan agar pakcik ni dikurniakan kesihatan yang baik dan diberkati sebab sifatnya yang sayangkan haiwan.

ZULHIJJAZ FIKRI

"Jadi mungkin dia tinggal sebatang kara saja. Tapi lepas perkongsian tu, ada beberapa kawan yang respon cakap mereka pun biasa nampak pakcik ni sekitar Tangkak.

"Saya hanya doakan agar pakcik ni dikurniakan kesihatan yang baik dan diberkati sebab sifatnya yang sayangkan haiwan. Lagipun kucing ni binatang kesayangan Nabi kita," ujar anak ketiga daripada empat adik beradik ini.



Antara komen netizen terhadap perkongsian Hijjaz.

Dalam pada itu ujar remaja ini, dia menyimpan keinginan untuk bertemu semula dengan lelaki warga emas berkenaan kerana ingin mencari jawapan bagi beberapa persoalan yang bermain di mindanya.

"Kalau ada peluang berjumpa, pertama sekali saya nak minta maaf sebab muat naik gambarnya tanpa kaburkan apa yang tak sepatutnya.

"Keduanya, saya teringin sangat nak tahu tentang kisah hidup lelaki yang bersifat penyayang ini," ujarnya mengakihir bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain