suria

Frontliner ‘taat SOP’ senasib dengan tok imam! Sakit hati disahkan positif Covid-19 tapi menangis dengar kawan titip ungkapan penyedap hati

Zamri ketika dijempu mengenai kenderaan KKM untuk dibawa ke Hospital Rembau selepas disahkan positif Covid-19. foto facebook Zamri Shahri

TIADA siapa yang mahu dijangkiti virus Covid-19 yang boleh membawa maut, tetapi hakikat yang harus diterima wabak itu sudah pun berada dalam komuniti.

Apa yang kita boleh lakukan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan sosial.

Seorang petugas kesihatan barisan hadapan (frontliner) berkongsi pengalamannya mengendalikan seorang pesakit di wad Covid-19 yang kelihatan alim dan sentiasa membawa senaskhah al-Quran, beberapa minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati tak senang, doktor wanita disahkan positif Covid-19... puncanya pesakit tak jujur - "Sedih berpisah dengan anak-anak, suami"

ARTIKEL BERKAITAN: Lima bulan dikelilingi pesakit Covid-19, baru kini doktor dedah perkataan 'lumpuh' paling ditakuti barisan frontliners - "Kami menangis..."

"Ketika itu keadaan beliau agak teruk juga, batuk yang sangat kuat sehingga pembacaan al-Qurannya tersekat-sekat. Semasa aku ingin mengambil tekanan darahnya, sempat aku bertanya bagaimana beliau boleh terkena jangkitan Covid ini.

"Tidak tahulah encik, semua SOP saya ikut. Saya juga imam di sebuah surau dan saya juga pastikan jemaah ikut SOP dengan betul.

"Akhirnya, saya yang terkena Covid. Macam manalah saya boleh terkena ini pun saya tak tahu, jawab pesakit itu dengan sedikit nada kehampaan," tulis pengguna Facebook bernama Zamri Shahri mengimbas kembali perbualan bersama pesakit itu.



Seorang petugas kesihatan mengendalikan pesakit Covid-19. gambar hiasan/ foto AZHAR MAHFOF/The Star

Jelas Zamri, dia sendiri sememangnya dikenali sebagai seorang yang mementingkan SOP dalam kalangan rakan-rakan sekerja, dan sentiasa membawa hand sanitizer sendiri ke mana sahaja.

"Aku tidak pernah walau sekali pun makan di tempat kerja. Selesai tugas, aku mandi dan terus balik. Tanyalah kepada sesiapa yang mengenali aku, baik dalam kalangan staf wad mahupun ketua dan penyelia jururawat.

"Sungguh mereka benar-benar mengenali aku dan cara aku bekerja. Dalam kalangan rakan-rakan satu jemaah pun sama. Banyak kali aku bertelagah dengan beberapa ahli jemaah dalam mempertahankan kewajaran SOP," katanya.

Namun, sebagai manusia kita hanya mampu merancang yang terbaik, tapi Tuhan yang menentukannya apabila dia sendiri akhirnya dijangkiti wabak yang digeruni itu.

Kejadian lewat petang 15 Januari lalu benar-benar mengubah caranya memandang takdir, menilai tutur kata sendiri dan melontarkan pengharapan kepada Tuhan, berubah!

"Tiba-tiba badanku terasa menggigil dan kepala mulai pening serta batuk mula kedengaran seolah-olah ada sesuatu kesat yang tersangkut di tekak aku ini.

"Pulang ke rumah, aku memeriksa suhu badan, ternyata demam. Suhu 37.9 darjah celcius. Aku terus beritahu ketua jururawat ketika itu melalui telefon dan keesokan malamnya diarahkan untuk mengambil ujian swab tekak dan rongga hidung," tambahnya.



Pasukan frontliners bertugas demi masyarakat. foto AZHAR MAHFOF/The Star

Menurut Zamri, segala-galanya berlaku secara tiba-tiba kerana sebelum itu dia sihat seperti tiada apa yang berlaku, malah bersenam dan berjoging setiap petang.

"Dalam sekelip mata badan menjadi letih lesu, kepala menjadi pening sehinggakan tahap kesakitan itu tidak dapat aku terjemahkan dalam apa bentuk perkataan. Demam, seram sejuk dan batuk yang sangat mengganggu rutin harian aku.

"Kecewa? Tentu ada. Sakit hati? Itu yang aku rasa sekarang. Penat? Ya, memang penat mengawal diri mengikuti SOP dengan ketat dan akhirnya positif," ujarnya.

Kecewa? Tentu ada. Sakit hati? Itu yang aku rasa sekarang. Penat? Ya, memang penat mengawal diri mengikuti SOP dengan ketat dan akhirnya positif

ZAMRI SHAHRI

Tidak terkecuali, katanya, ada yang cuba menyedapkan hatinya

"Berehatlah Zamri. Allah tengok kau dah penat. Itu yang Dia bagi kau dan frontliners yang lain 'peluang' untuk berehat dengan ujian sebegini.

"Percayalah, Dia nak kau berehat dan tidur sebelum berjuang semula. Serius, aku menangis mendengarkan perkataan ini," katanya.



Reaksi seorang petugas kesihatan yang sedang bertugas. gambar hiasan/ foto AZHAR MAHFOF/The Star

Dia turut memuat naik gambarnya dijemput oleh kenderaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Rembau, Negeri Sembilan.

"Demi sesungguhnya, Tuhan menjadi saksi yang aku telah usaha sedaya upaya menjaga diri dari dijangkiti. Dan akhirnya, Covid itu berjaya juga menewaskan aku," kata Zamri.

Mengenang kembali momen itu, hatinya sayu mendengar tangisan anak-anak di sebalik pintu pagar.

"Ayah, jangan pergi. Ayah tak sayang kami ke? Sebak hati aku. Mereka sedaya-upaya cuba menghalang aku keluar menuju ke kenderaan hospital.

"Allahuakbar! Doakan saya cepat sembuh dan semoga Allah menjaga keluarga yang saya tinggalkan bagi menghabiskan waktu kuarantin ini," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain