suria

“Nak sangat ada keluarga datang peluk saya” - Tiga tahun hidup di neraka dunia, pelajar IPTA terus derita hidup sebatang kara

Penuntut IPTA bernama Lydia berkongsi kisah hidupnya yang dibelenggu isu kesihatan mental sejak lapan tahun lalu. Gambar hiasan.

ISU kesihatan mental sememangnya bukan satu isu remeh.

Pelbagai perkara boleh mendorong seseorang berdepan dengan masalah ini, antaranya tekanan, trauma akibat pengalaman lampau dan sebagainya.

Malah masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia mahu pun status.

ARTIKEL BERKAITAN: Famili tak tahu, 3 tahun gadis ini derita akibat stres sampaikan selalu cederakan diri... nasib baik ibu saudara bantu – “Mereka memahami, tak judgemental”

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu kaunseling jaja cerita, ustazah pecah rahsia! Pelajar dakwa tukar sekolah selepas dimalukan guru dalam kelas - “Saya terpaku disuruh buat pengakuan depan rakan”

Hanya sejak kebelakangan ini ramai yang tidak keberatan untuk berkongsi masalah yang dialami mereka di media sosial demi memberi kesedaran mahupun sekadar perkongsian pengalaman.

Tidak terkecuali bagi wanita muda yang hanya mahu dikenali sebagai Lydia ini.

Lydia yang merupakan seorang penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) beberapa hari lalu meluahkan dia hampir sahaja mengambil 'jalan singkat' ekoran berdepan kesusahan selepas pengumuman kerajaan yang meminta penuntut universiti untuk masuk semula ke kelas bermula Oktober.



Lydia berdepan fasa paling buruk dalam hidupnya sewaktu tinggal menumpang kasih di rumah ibu saudaranya kira-kira enam tahun lalu.

Menerusi bebenang, Lydia mengakui keadaan tersebut cukup menyukarkan dirinya tambahan pula dia sudah menamatkan kontrak rumah sewa dan mula bekerja sambilan bagi menampung kehidupan lantaran tidak mempunyai keluarga ataupun saudara mara untuk bergantung.

Bermula dari sekadar luahan mengenai kesusahan ekoran keputusan mengejut kerajaan untuk golongan mahasiswa itu, siapa sangka wanita ini menyimpan 1001 kisah duka yang menyelubungi dirinya hingga dia berdepan isu kesihatan mental.

Berkongsi cerita dengan mStar, Lydia berkata dia hilang segala-galanya selepas nenek kesayangannya, satu-satunya insan tempat bergantung, meninggal dunia sewaktu usianya 17 tahun.



Lydia mendedahkan dia beberapa kali cuba untuk menamatkan riwayatnya sendiri apabila berasa tertekan.

"Sebelum itu masa darjah enam, saya kehilangan abang yang merupakan satu-satunya adik beradik saya. Ketika saya berusia 15 tahun, ibu bapa pula meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

"Selepas itu saya tinggal dengan nenek sehinggalah nenek meninggal dunia dua hari selepas saya tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selepas nenek meninggal, saya rasa hilang segala-galanya. Tiada tempat bergantung. Saya tinggal dengan keluarga makcik dan bermula detik itulah masalah yang saya alami makin teruk," cerita wanita berusia 23 tahun ini.

Tiga tahun sepanjang tinggal bersama ibu saudaranya bermula 2014, Lydia berkata kehidupannya tidak seindah yang disangkakan.

Layanan buruk yang diterima ditambah pula dengan faktor kehilangan insan-insan tersayang, dia beberapa kali terdetik untuk menamatkan riwayat sendiri.

Kalau tanya saya dendam dengan keluarga makcik, tidak... saya tak dendam. Apa pun yang mereka buat, saya masih anggap mereka adalah orang yang saya gelarkan keluarga.

LYDIA

"Tapi Alhamdulillah saya masih hidup hingga kini dan melanjutkan pelajaran ke IPTA. Setidak-tidaknya berjaya keluar dari rumah tu," ujar pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik ini.

Lydia berkata dia melakukan pelbagai pekerjaan sambilan untuk menampung pengajian dan kehidupannya, namun bertuah dikelilingi insan mulia yang seringkali menghulurkan pertolongan walaupun bukan darah daging sendiri.

"Makcik pemilik rumah sewa yang saya tinggal masa belajar sangat memahami... dia ambil bayaran sewa separuh saja. Pendek kata saya bersyukur banyak urusan saya dipermudahkan sepanjang belajar," ceritanya.

Pernah dimasukkan ke hospital selama tiga bulan ekoran masalah yang dialaminya itu beberapa tahun lalu, Lydia berkata sehingga kini dia masih berdepan dengan perkara yang sama.



Lydia pernah dimasukkan ke hospital selama tiga bulan kerana masalah kesihatan mental yang dihadapinya, beberapa tahun lalu. Gambar hiasan.

"Bila perasaan tu datang, saya cuba lawan dan cakap pada diri sendiri bahawa saya mampu. Apa yang buatkan saya kuat ketika ini ialah motivasi untuk saya tamatkan pengajian.

"Saya nak tunjukkan pada arwah ibu ayah dan nenek yang saya akhirnya genggam segulung ijazah," ujarnya.

Lydia kini tinggal berseorangan di rumah arwah neneknya di pantai timur sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih tiga bulan yang lalu dan dia kini bekerja sambilan di sebuah kedai runcit milik seorang penduduk kampung.



Komen-komen positif daripada netizen yang memberikan kata-kata semangat membuatkan Lydia berasa sungguh terharu.

"Saya tak ada kenderaan, jadi agak terhad nak kerja di bandar. Syukur penduduk banyak bantu sebab kenal kerana saya pernah tinggal dengan arwah nenek.

"Kalau tanya saya dendam dengan keluarga makcik, tidak... saya tak dendam. Apa pun yang mereka buat, saya masih anggap mereka adalah orang yang saya gelarkan keluarga.

"Sentiasa saya berdoa, walaupun mungkin harapannya tipis, saya nak sangat ada keluarga yang datang peluk saya suatu hari nanti dan beritahu mereka bangga dengan saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
mental, nenek, neraka, makcik

Artikel Lain