Kisah pilu anak tunggal yatim piatu di sebalik fotonya di pusara ketika sambutan Hari Ibu

Lila sewaktu menziarahi pusara arwah ibunya.

SAMBUTAN Hari Ibu saban tahun sudah tiada seri bagi gadis ini setelah pemergian ibu kandung akibat kanser ovari pada 2015.

Lebih pilu, bapanya juga sudah meninggal dunia sebelum dia dilahirkan, lebih 20 tahun lalu.

Menurut Nurul NurHalilah Abdul Rahman, 20, dia merupakan anak tunggal dan menetap bersama ibu saudaranya setelah kematian ibunya, Azah @ Azizah Mohd Akhir lima tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun meninggal, suami setiap hari ziarah pusara isterinya, beri ‘makanan’ 3 kali sehari untuk balas jasa

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah pusara suami, isteri tergamam anak tanya soalan ‘ikhlas dari hati’... jawab sambil menangis undang sebak

Kisah pilu gadis itu menarik perhatian mStar setelah dia berkongsi foto lama menunjukkan dia sedang berdoa di pusara ibunya menerusi laman Twitter pada Ahad.

Mesra disapa Lila, dia sewaktu dihubungi mengakui sedih setiap kali melihat insan lain bersama ibu masing-masing.

"Apabila tengok orang lain sambut Hari Ibu, semestinya saya sedih sebab teringat dekat arwah, tapi apakan daya, saya reda dan sentiasa mendoakan arwah ibu saya.

Lila sewaktu masih kecil bersama arwah ibunya.

"Pengubat rindu saya hanya doa dan tengok gambar arwah ibu saya. Satu-satunya separuh nyawa saya sudah hilang, tapi saya kena kuat untuk tempuh semua cabaran yang akan datang," ujarnya.

Menurut Lila lagi, dia mahu melakukan kebaikan agar diberi ganjaran syurga di akhirat kelak bagi membolehkan dia bertemu semula dengan ibunya.

Malah katanya, hidupnya ternyata berubah 360 darjah setelah pemergian wanita itu dan sehingga kini tiada siapa yang dapat menjadi pengganti kepada insan paling penting itu.

Walaupun orang lain suruh anggap seperti ibu sendiri, tapi kita sendiri rasa perbezaan dan memang tidak ada siapa dapat menggantikan ibu kita.

NURUL NURHALILAH ABDUL RAHMAN

ANAK YATIM PIATU

"Kalau terlampau ikutkan emosi, memang sedih tapi Alhamdulillah, pegangan agama saya masih kukuh.

"Saya ingin meneruskan hidup dan membuat kebaikan supaya dapat berjumpa dengan arwah ibu saya di syurga nanti InsyaAllah.

"Sesetengah orang beritahu, yang patah tumbuh, yang hilang akan berganti. Pada pendapat saya, pernyataan itu amatlah benar tetapi bukan ke atas pemergian ibu.

"Walaupun orang lain suruh anggap seperti ibu sendiri, tapi kita sendiri rasa perbezaan dan memang tidak ada siapa dapat menggantikan ibu kita," ujarnya.

Foto Lila sewaktu di bangku sekolah rendah bersama ibunya.

Malah, Lila sempat menitipkan pesanan buat semua yang bergelar anak agar sentiasa menghargai kedua-dua orang tua selagi mereka masih ada.

"Selagi kedua ibu bapa ada, berbaktilah sebelum terlambat. Nak menyesal tak guna, menangis air mata darah juga tiada kembali yang telah menghadap-Nya," ujar Lila.

Menurut Lila, dia kini kembali semula ke rumah keluarga di Alor Setar, Kedah selepas menamatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dia sebelum ini menetap bersama ibu saudaranya di Seri Kembangan sejak 2016 sehingga 2019.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain