Penghantar makanan ‘nak try’ model, tak henti-henti telefon nak berkenalan - “Bukan sebab tak kacak atau dia rider, tapi macam psiko pun ada”

Seorang model sambilan, Shahnaz Sharizal, berkongsi kisah dia diganggu seorang penghantar makanan yang menjadi tular di media sosial.

“BUKAN sebab dia tidak kacak atau dia hanya penghantar makanan, tetapi dia menyalahgunakan nombor telefon saya sebagai pelanggannya”

Demikian kata seorang gadis, Shahnaz Sharizal, berhubung tindakannya membuat perkongsian di Twitter mengenai kisah dia diganggu oleh seorang pekerja syarikat penghantaran makanan, baru-baru ini.

Berkongsi cerita dengan mStar, Shahnaz berkata kejadian berkenaan berlaku pada malam Ahad lalu ketika dia memesan makanan menggunakan khidmat sebuah syarikat penghantaran makanan terkenal.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider Foodpanda bukan saja hantar makanan ‘on time’, selamatkan perempuan cuba bunuh diri pun tepat pada masanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Buat pelanggan basah kuyup, ‘kedekut’ aircond, pemandu e-hailing biadab halau penumpang - “Dia libas benda panjang, tunjuk isyarat lucah” 

“Saya buat pesanan menggunakan nombor telefon kakak yang sudah didaftarkan dalam aplikasi tersebut. Pada mulanya dia menghubungi nombor milik kakak saya untuk bertanyakan blok dan lokasi rumah. Kakak saya kemudian memberikan nombor telefon saya agar komunikasi lebih mudah, kerana kami tidak tinggal sekali.

“Apabila dia sampai, saya pun turun untuk ambil makanan. Ketika itu reaksi rider tersebut biasa sahaja, cuma dia bertanya kenapa guna nombor berbeza. Itu sahaja. Dan kemudian saya naik ke atas rumah untuk menikmati makanan, tetapi belum pun sempat jamah makanan, dia hubungi saya.

“Saya beritahu baru saja nak makan, dia pula beritahu nak berkenalan dan sebagainya. Saya beritahunya semula, saya ni seorang pelanggan, tolong jangan kacau dan saya sangat tidak selesa, kemudian dia cakap ‘takkan nak kenal pun tak boleh’.

“Tak salah kalau nak kenal, tapi bukanlah pada waktu dia sedang bekerja. Ini dia sudah mencampurkan antara kerja dengan urusan peribadi. Banyak kali pula tu dia call. Itu yang saya sempat rakam,” ujar gadis berusia 17 tahun ini.

Perkongsian Shahnaz mengenai kisah dia diganggu penghantar makanan menjadi tular di Twitter.

Remaja yang juga model sambilan itu berkata, penghantar makanan tersebut tidak berputus asa apabila panggilannya tidak dilayan.

“Apabila saya tak layan panggilannya, dia hantar mesej kepada kakak saya tanya sama ada saya masih single,” kata Shahnaz.

Kata gadis dari Subang Jaya, Selangor ini, dia turut memberitahu ibunya mengenai tindakan lelaki terbabit yang disifatkan seperti sudah melampaui batas, selain bimbangkan keselamatannya.

Shahnaz turut memuat naik tangkap layar (screenshot) mesej yang dihantar oleh penghantar makan tersebut kepadanya dan juga kakaknya. 

“Ibu minta saya buat laporan kepada syarikat penghantaran makanan tersebut. Dan saya sudah membuatnya, namun masih belum ada sebarang maklum balas setakat ini. Selain itu, saya turut ambil pendekatan menyekat nombor telefonnya.

“Tapi, saya masih bimbang jika dia menyimpan dendam atau niat tidak baik, apatah lagi dia tahu alamat saya. Saya mungkin akan buat laporan polis jika keadaan memaksa. Iyalah, siapa yang tidak risau sebab tindakannya seperti seorang psiko pun ada,” kata Shahnaz.

Sehingga kini perkongsian Shahnaz meraih perhatian netizen apabila ia meraih lebih 2,000 retweet selain turut dihujani komen netizen.

Ada di antara mereka yang turut sama berkongsi pengalaman diganggu ketika mendapatkan perkhidmatan penghantaran makanan dan juga e-hailing.

Ada pula yang berkata saya berbuat demikian kerana mungkin lelaki tersebut tak kacak dan hanya bekerja sebagai rider. Bukan pasal itu. Masalahnya, dia sudah salahgunakan nombor telefon saya, sedangkan saya ini pelanggan. Bila jadi begitu, dia buatkan pelanggan tidak selesa. Pada saya, ketika bekerja, kita perlu profesional, itu sahaja

SHAHNAZ SHARIZAL

PELANGGAN

Namun tidak kurang juga ada yang mengecam tindakan Shahnaz yang memviralkan perkara berkenaan di media sosial kerana disifatkan mengaibkan penghantar makanan berkenaan.

“Ramai yang minta saya sekat dan tak usah layan panggilannya. Masalahnya dia menghubungi saya berulang-ulang kali. Lagi bimbang, dia ada alamat saya. Ada pula yang berkata saya berbuat demikian kerana mungkin lelaki tersebut tak kacak dan hanya bekerja sebagai rider.

“Bukan pasal itu. Masalahnya, dia sudah salahgunakan nombor telefon saya, sedangkan saya ini pelanggan. Bila jadi begitu, dia buatkan pelanggan tidak selesa. Pada saya, ketika bekerja, kita perlu profesional, itu sahaja,” ujarnya mengakhiri bicara.

rider, makanan, psiko, penghantar makanan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain