suria

Selepas setahun hilang, gadis temui semula wang RM10 pemberian ayah - “Malangnya, itu kali terakhir saya bertemu dengannya”

Anne (kanan) merupakan pemilik kepada wang RM10 ini yang tular di media sosial.

"THE last cash given by dad on 21/5/2010. Friday 7.10 am. I love u dad."

Tulisan ringkas tapi cukup bermakna pada wang kertas RM10 ini berjaya meruntun hati seorang kakitangan di sebuah bank di Batu Berendam, Melaka.

Susulan itu, Norhaizalifa Othman, 38, tekad mencari pemilik wang kertas tersebut menerusi satu posting di Facebook pada 30 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sibuk berbelanja guna ‘paywave’, mangsa hilang dompet terkejut lihat CCTV - “Makcik... itu duit kahwin saya!”

Jelas Norhaizalifa, dia membuat perkongsian itu kerana yakin wang tersebut amat bernilai buat pemiliknya.

"Ayat tu tak ada value pada saya tapi saya percaya ia ada nilai sentimental pada pemiliknya.

"Wang itu saya terima daripada pelanggan yang datang ke bank untuk buat penukaran sebab kedai reject duit tu untuk urusniaga.

Hyza menerima wang itu daripada seorang pelanggan di bank tempat dia bertugas di Batu Berendam, Melaka.

"Lagipun duit tu tak sesuai atau tak laku untuk urusniaga. Jadi hanya ada satu jawapan... (wang) kembalikan kepada pemiliknya," katanya kepada mStar.

Tanpa diduga, Norhaizalifa atau lebih mesra disapa Hyza akhirnya dapat menghubungi pemilik wang itu dengan bantuan netizen dalam tempoh kurang 48 jam postingnya tular.

Pemiliknya, Anne Malar Yesudass menerusi satu posting di Facebook berterima kasih kepada Hyza dan netizen yang mempertemukannya dengan wang pemberian bapanya itu.

Saya berusia 17 tahun ketika itu. Bapa berikan RM10 itu ketika dia hantar saya ke sekolah sekitar pukul 7.10 pagi.

ANNE MALAR YESUDASS.

"Hari ini (Ahad) adik saya hantar WhatsApp paparan skrin dan memaklumkan saya mengenai posting itu. Saya amat gembira.

"Saya berterima kasih kepada kak Hyza Ezany kerana perkongsian itu. Perkataan terima kasih sahaja tidak cukup tetapi satu perkara yang boleh saya ungkapkan adalah rasa terhutang budi saya.

"Terima kasih kepada semua yang baik hati berkongsi mengenai perkara ini dan meninggalkan komen yang bagus. Saya sayang Appa. Saya rindu awak sangat-sangat Appa," katanya.

Ayat kenangan terakhir antara Anne dan bapanya kira-kira sembilan tahun lalu yang diabadikan di atas wang kertas RM10 itu.

Menurut Anne, duit itu merupakan pemberian terakhir bapanya kira-kira sembilan tahun lalu.

"Saya berusia 17 tahun ketika itu. Bapa memberikan RM10 itu ketika dia menghantar saya ke sekolah kira-kira pukul 7.10 pagi.

"Namun malangnya itu adalah kali terakhir saya bertemu dengannya. Dia terlibat kemalangan dan meninggal dunia dalam kejadian itu," katanya.

Gadis berusia 26 tahun itu berkata sejak itu dia menyimpan wang pemberian terakhir bapanya itu sebelum dompetnya dicuri pada 1 September 2018.

"Tarikh terakhir dompet saya dicuri ketika saya menghadiri program perkhemahan di Melaka. Saya tidak sedih kehilangan dompet tetapi amat sedih benda bernilai dalam hidup saya dicuri bersama.

"Saya masih teringat insiden itu setahun yang lalu... hati saya sentiasa sakit bila saya terfikir mengenainya," katanya.

Gambar kenangan Anne dengan bapanya.

Sementara itu, Hyza berkata dia akan menyerahkan wang tersebut kepada Anne pada Khamis.

"Insya-Allah saya akan serahkan wang itu kepada Anne esok. Terima kasih kepada netizen yang main peranan sehingga pemiliknya ditemui.

"Usaha saya kecik je tapi impaknya cukup hebat buat pemiliknya. Syukur Alhamdulillah saya amat gembira kerana dapat membahagiakan orang lain," katanya.

Posting Hyza turut dihujani pelbagai komen dalam kalangan netizen.

"Semoga kamu dibalas darjat dan diberi kesenangan diakhirat kelak... syurga indah jua menunggu mu," kata Ezra.

"Terbaik. Ia bukan mengenai nilai RM tetapi nilai memori terakhir yang amat berharga. Semoga Allah memberkati kamu," tulis Nor Bani.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain