suria

Buat pelanggan basah kuyup, ‘kedekut’ aircond, pemandu e-hailing biadab halau penumpang - “Dia libas benda panjang, tunjuk isyarat lucah”

Adrynn berkongsi pengalaman pahit berdepan dengan pemandu sebuah syarikat e-hailing yang didakwanya bersikap biadab melayan penumpang.

“TENGAH –tengah hujan lebat, dia minta kami pergi ke keretanya yang diberhentikan sedikit ke depan dari tempat kami menunggu, basah kuyup dibuatnya,” demikian cerita seorang pelanggan mengenai pengalaman pahitnya menerima layanan buruk seorang pemandu perkhidmatan e-hailing.

Menceritakan kembali insiden tersebut, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Adrynn ini berkata, kejadian berlaku pada petang Jumaat lalu ketika dia dan dua rakannya mahu pulang ke rumah di Petaling Jaya selepas selesai bekerja di sebuah butik di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Menurut Adrynn, sebagaimana kelaziman sebelum ini, dia dan rakannya menggunakan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing memandangkan masih bergelar pelajar yang sedang mengikuti latihan industri (internship).

ARTIKEL BERKAITAN: Duit ‘hangus’ lebih RM600, bas ekspres buat hal di R&R pagi-pagi buta – “Puas cari pemandu bas tapi tak jumpa”

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul 5 pagi pemandu bas suka hati ‘letak’ penumpang tepi jalan, menapak 2km ke terminal, “Saya beli tiket bas ekspres, bukan bas loceng!”

“Pada petang itu, kami menempah perkhidmatan MyCar, masa itu lebih kurang pukul 6.30 petang. Tidak lama selepas menunggu, pemandu itu maklumkan dia dah sampai. Kami pun minta dia datang jemput di lokasi yang telah diberikan, namun dia kata tak boleh padahal dekat saja.

“Jadi mahu tak mahu, kami pun meredah hujan lebat untuk ke keretanya. Memang kuyuplah dibuatnya. Dalam keadaan hujan tu, pemandu wanita itu tidak memasang aircond, jadi kami minta dia pasangkan. Namun jawapan yang diterima sangat tak disangka, dia kata ini kereta awak ke?

“Kami masih boleh bersabar lagi. Ketika memulakan perjalanan, tiba-tiba dia cakap dengan kasar minta kami pakai tali pinggang keledar. Kawan saya yang duduk di hadapan kemudian kata padanya ‘boleh tak cakap elok-elok?’. Dengan tidak semena-mena, dia kata nak berhentikan kereta dan tinggalkan kami tepi jalan. Dia batalkan tempahan kami dalam aplikasinya,” ujar Adrynn.

Perkongsian Adrynn meraih lebih 14,000 retweet.

Dalam keadaan sedikit tegang itu, Adrynn berkata rakannya bertegas enggan turun dari kereta kerana mereka sudah pun membuat tempahan dan membayar untuk perkhidmatan tersebut.

Bagaimanapun, pemandu wanita itu tetap memberhentikan keretanya di bahu jalan, hanya kira-kira beberapa minit selepas memulakan perjalanan.

Saya tanya kenapa sampai nak pukul orang? Dia jawab sebab kami biadab. Ketika itu memang ada beberapa pasang mata yang melihat, jadi pemandu ini mula takut dan dia salahkan kami. Padahal dia yang tidak beradab.

ADRYNN

PENUMPANG 

“Memandangkan dia dah cancel tempahan, kami terpaksa turun. Rakan saya ketika itu tak sengaja tertutup pintu sedikit kuat. Rupa-rupanya, pemandu itu keluar kereta dengan tangannya memegang satu benda, tak pasti apa, tapi panjang. Sambil marah, dia libaskan benda itu dan terkena paha rakan saya.

“Masa itu memang dah tegang sebab kami bertekak di tepi jalan. Saya tanya kenapa sampai nak pukul orang? Dia jawab sebab kami biadab. Ketika itu memang ada beberapa pasang mata yang melihat, jadi pemandu ini mula takut dan dia salahkan kami. Padahal dia yang tidak beradab,” dakwa Adrynn.

Menurut Adrynn, pemandu itu kemudian cepat-cepat berlalu namun sempat melayangkan isyarat lucah kepada dia dan rakan-rakannya.

Adrynn berkongsi pengalaman pahit berdepan dengan pemandu yang tiada adab dalam satu bebenang di Twitter.

“Kami terpaksa tempah semula dan menghabiskan masa selama 45 minit sebelum pemandu baru MyCar sampai. Sementara menunggu, saya hubungi talian khidmat pelanggan syarikat e-hailing itu untuk buat aduan, namun sampai ke sudah mereka tak angkat telefon.

“Sehingga malam hari pun masih gagal hubungi mereka, jadi saya kongsi di laman sosial. Niat saya hanyalah untuk memberi pengajaran dan peringatan kepada pengguna lain supaya lebih berhati-hati.

“Perkara seperti ini tak patut berlaku kepada pelanggan yang membayar untuk perkhidmatan mereka. Lagi pula kita ini berbilang kaum dan bangsa, jadi perlu ada sikap saling hormat menghormati. Langsung tak terniat nak tutup periuk nasi mereka, tapi ia sekadar perkongsian agar ambil pengajaran,” ujarnya.

Respon daripada syarikat e-hailing terhadap perkongsian Adrynn.

Menurut Adrynn, dia juga tidak menyangka perkongsiannya itu mengundang perhatian netizen sehingga meraih belasan ribu retweet, yang akhirnya perkara itu juga turut mendapat maklum balas daripada MyCar sendiri.

“Malam keesokannya, selepas panggilan saya tak berjawab, MyCar ada tinggalkan komen pada perkongsian saya dan memohon maaf atas apa yang berlaku, selain memaklumkan akan menyiasat perkara itu.

“Apa yang saya harapkan, pemandu tersebut dikenakan tindakan sewajarnya agar insiden seumpama ini tidak lagi berulang. Saya berterima kasih kepada netizen yang prihatin dan tak sangka, ramai yang juga ada pengalaman yang sama.

“Apa yang boleh saya katakan,  kita sebagai rakyat Malaysia perlu hormat menghormati dan berbuat baik sesama kita. Dan kepada pemandu, lakukanlah pekerjaan dengan ikhlas, bukan melayan pelanggan seperti layanan yang saya dan rakan-rakan dapat seperti sebelum ini,”  ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
e-hailing, basah, lucah, biadab

Artikel Lain