Hari ni anak pinjam duit bapa RM3,500, esok jumpa langsung tak pandang mukanya... 4 jam kemudian abah meninggal - Viral | mStar

Hari ni anak pinjam duit bapa RM3,500, esok jumpa langsung tak pandang mukanya... 4 jam kemudian abah meninggal

Pemergian ibu atau bapa buat selama-lamanya menjadi perkara paling ditakuti oleh setiap anak. -Gambar hiasan

MEMANG diakui bukan mudah untuk menerima hakikat bahawa suatu hari nanti setiap anak akan berdepan dengan saat yang paling ditakuti iaitu pemergian ibu bapa buat selama-lamanya.

Lambat atau cepat ia pasti akan berlaku, cuma caranya mungkin berbeza-beza.

Lebih perit apabila anak perlu berdepan dengan situasi ibu atau ayah yang meninggal dunia secara mengejut.

Pengalaman seorang lelaki yang hanya mahu dikenali Dani, 31, yang berkongsi kisah menyayat hati beberapa jam sebelum kematian bapa tersayang telah menyentuh jiwa pembaca di laman Twitternya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkilan tak sudah gagal tunai permintaan solat jenazah, “Dua kereta tak sempat jual, ibu pergi dulu”

Jelas anak lelaki kedua daripada tiga beradik ini, perkara yang paling dia terkilan sehingga sekarang apabila tenungan tenang bapanya pada pagi 25 Jun lalu rupa-rupanya adalah yang terakhir dilihat Dani.

"Seperti biasa sebelum pergi kerja saya akan hantar anak-anak ke rumah abah dan emak tiri saya. Biasanya setiap hari saya akan tegur dan berborak seketika dengan abah sebelum pergi kerja.

Tweet Dani yang mengundang sebak pembaca.

"Tetapi pada hari itu saya hanya senyum dan melambai tangan ke arah abah. Sebenarnya ketika itu saya rasa segan dengan abah kerana sehari sebelumnya saya ada meminjam duitnya RM3,500 untuk bayaran yuran menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang akauntan.

"Selepas abah 'bank-in' duit tu, saya tak sempat membayarnya lagi sebab hari itu saya sibuk dengan kerja-kerja di pejabat," kongsinya kepada mStar.

Dani menerusi perkongsiannya yang tular di Twitter juga memberitahu, disebabkan perasaan segan yang menebal kerana masih meminjam wang walau sudah berkeluarga, dia langsung tidak memandang wajah bapanya pada pagi tersebut.

Sebahagian daripada perkongsian Dani di Twitter.

Menurut Dani, selepas lebih kurang empat jam di pejabat dia menerima panggil telefon daripada ibu tiri yang dipanggil aunty memberitahu bapanya tidak sedarkan diri dan memberitahu 'muka abah dah biru'.

"Dapat sahaja panggilan itu saya terus pulang. Dalam perjalanan saya call lagi aunty dan terus diberitahu Dani, abah dah tak ada. Saya terus menangis, terduduk di lantai.

"Saat itu hanya satu sahaja yang saya ingat, saat lalu depan abah beberapa jam lepas... abah renung saya.

"Tiba di rumah abah memang saya nampak abah terbaring di tempat kesukaannya terlelap di ruang depan TV.

Terbayang lagi saya mandikan jenazah, sabunkan setiap inci seperti mana dia mandikan saya ketika kecil, penuh dengan kelembutan. Cumanya tidak ada lagi gurauan.

DANI

"Memang saat itu saya terus berlari ke arah abah menangis dan meraung sekuat hati dan letak kepala di dadanya dengan harapan dapat dengar degupan jantungnya walaupun sedegup.

"Saat berlalu dan betul abah memang dah meninggal dunia," tulisnya dalam posting yang mendapat lebih 6,000 ulang kicau.

Jelas anak kelahiran Ipoh, Perak, ini walaupun setahun sudah berlalu, hatinya belum sepenuhnya dapat menerima hakikat bahawa bapanya yang berusia 59 tahun ketika itu sudah tiada.

"Sehingga sekarang saya belum bersedia menyambung pengajian. Biarlah, memang saya tidak ada semangat langsung.

"Duit yang abah bagi itu saya gunakan untuk urusan jenazahnya dan selebihnya disedekahkan kepada beberapa masjid. Itulah amalan abah yang boleh saya panjangkan," katanya.

Dani juga masih dapat membayangkan saat-saat dia memandikan jenazah, membersihkannya setiap inci seperti mana yang dilakukan bapanya terhadapnya ketika kecil.

"Dapatlah juga capai hajat saya nak mandikan abah bila dia tua. Cuma keadaan berbeza sedikit.

"Selepas selesai pengebumian, saya hanya berkurung di dalam bilik selama seminggu. Isteri hanya hantar makanan kat bilik. Tempoh bercuti selama seminggu saya habiskan meratap di bilik sahaja. Rasa sedih, pilu, sayu, marah dengan diri sendiri.

Sebahagian komen netizen yang turut merasai kesedihan Dani yang kehilangan bapanya.

"Walaupun sudah setahun berlalu, mimpi arwah abah tidak pernah lekang. Dia selalu datang dalam mimpi," jelasnya yang bakal menerima kehadiran cahaya mata keempat tidak lama lagi.

Tambah Dani, perasaan menebal menolak hakikat bapanya sudah tiada masih kekal sehingga kini.

"Kalau orang tak tahu dan tanya abah, saya hanya beritahu abah dah berpindah. Terus terang saya cakap, sehingga hari ini masih terasa kehilangan abah," katanya.

Dalam pada itu, Dani berkongsi nasihat dengan semua orang supaya menghargai orang tua ketika mereka masih hidup.

"Saya memang rapat dengan abah. Selepas ibu dan abah bercerai dulu, saya lebih banyak bersama abah.

"Beberapa bulan sebelum dia meninggal, abah disahkan menghidap sakit jantung dan doktor sudah nasihatkannya untuk memasukkan saluran tiub, namun dia tolak.

"Malah saya sendiri pernah memujuknya tetapi dia tetap enggan. Mungkin abah ada alasan tersendiri mengapa tidak mahu berbuat demikian," ujarnya ringkas.

abah , meninggal dunia , RM3500

Artikel Lain