suria

“Dakwaan barang dicampak tidak benar dan fitnah” - Peguam Nubhan

Peguam mewakili Nubhan tampil memberi kenyataan selepas kecoh isu penyanyi itu membawa keluar barang milik bekas isterinya.

PEGUAM syarie yang mewakili penyanyi Nubhan iaitu Mohd Redzuan Ramli menafikan dakwaan kononnya barangan peribadi bekas isteri anak guamnya dicampak seperti yang diluahkan di media sosial semalam. 

Redzuan berkata, poses pengalihan barangan itu dilakukan secara berhemah dan teratur dengan menggunakan khidmat syarikat angkut berdaftar.

"Proses pengalihan barang-barang peribadi bekas isteri dibuat secara kemas dan teratur menggunakan khidmat syarikat angkut yang berdaftar. 

Nubhan didakwa membawa keluar barang milik Dr Afifah tanpa persetujuan. 

"Dakwaan bahawa barang-barang peribadi dicampak keluar adalah tidak benar dan fitnah," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Redzuan, Nubhan juga merakamkan setiap proses pembungkusan barang yang dibuat di kediaman miliknya itu dan pengalihan dibuat selepas tempoh iddah telah lama selesai. 

Malah Nubhan juga bersedia untuk menanggung segala ganti rugi sekiranya berlaku kerosakan terhadap barang peribadi bekas isterinya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kejam dan tidak berhati perut!"– Netizen lancar boikot, desak GV12 singkir Nubhan

ARTIKEL BERKAITAN: “Kejam kamu, Nubhan” — Dr Afifah dakwa barang peribadi dicampak tanpa izin, pemberian rumah dan klinik hanya ‘content’

"Saya juga dimaklumkan oleh anak guam saya bahawa segala proses pengalihan barangan peribadi bekas isteri telah dibuat dengan sangat baik dan cermat. 

"Sekiranya ada kecacatan di atas perkara tersebut anak guam akan membayar ganti rugi.

“Saya juga dimaklumkan tempoh iddah bekas isteri telah lama selesai,” katanya lagi.

Sekiranya ada kecacatan di atas perkara tersebut anak guam akan membayar ganti rugi

MOHD REDZUAN RAMLI 

PEGUAM SYARIE 

Dalam pada itu, Redzuan memberitahu Nubhan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan fitnah, membuat spekulasi jahat serta mengapi-apikan isu itu di media sosial.

Tegasnya, tindakan tersebut bagi melindungi reputasi dan nama baik anak guamnya daripada terus tercemar akibat dakwaan tidak berasas yang disebarkan kepada umum.

Sebelum ini, Dr Afifah meluahkan rasa kecewa dan berang apabila mendakwa barangan peribadi miliknya bersama anak-anak dikeluarkan dari kediaman mereka tanpa pengetahuan serta persetujuan. 

Dr Afifah meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Nubhan. 

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berada di luar negara, sekali gus membuatkan dirinya terkejut dan terkilan dengan tindakan bekas suami yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

Lebih teruk lagi dia juga mendedahkan pemberian Nubhan seperti rumah dan klinik sebelum ini hanyalah untuk dijadikan sebagai kandungan media sosial. 

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille,3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain