suria

“Kejam kamu, Nubhan” — Dr Afifah dakwa barang peribadi dicampak tanpa izin, pemberian rumah dan klinik hanya ‘content’

Dr Afifah hilang sabar dakwa Nubhan bertindak kejam.

BEKAS isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek meluahkan rasa kecewa dan berang apabila mendakwa barangan peribadi miliknya bersama anak-anak dikeluarkan dari kediaman mereka tanpa pengetahuan serta persetujuan. 

Menurut Dr Afifah, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berada di luar negara, sekali gus membuatkan dirinya terkejut dan terkilan dengan tindakan bekas suami yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Saya sedang berada di luar negara, namun barang-barang saya dikeluarkan dari rumah yang saya duduki bersama anak-anak tanpa pengetahuan saya.

“Kejam kamu, Nubhan. Semua barang saya dicampak begitu sahaja di hadapan rumah ibu,” katanya.

Perkongsian Dr Afifah di Threads. 

Dr Afifah berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Threads miliknya pada Isnin.

Dalam pada itu dia berkata perkara tersebut bukan kali pertama berlaku. 

Lebih teruk lagi dia juga mendedahkan pemberian Nubhan seperti rumah dan klinik sebelum ini hanyalah untuk dijadikan sebagai kandungan media sosial. 

“Sedih diperlakukan sebegini. Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku. Telefon pembantu rumah turut dirampas.

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan digelar ‘gila’, Dr Afifah berang bibik cium anak lelaki di bibir… “Walaupun pernah jaga dari kecil tetap tak boleh diterima” 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hentikan spekulasi, Nubhan rela salahkan diri sendiri... “Orang luar hanya tahu sedikit sahaja”

“Barang-barang berharga saya siapa yang pegang? Duit dan emas saya di mana? CCTV pula ditutup. Ini sudah keterlaluan. Saya tidak tahu lagi bagaimana mahu bersabar. 

“Rumah dan kereta atas nama kamu, lalu semudah itu kamu buang saya. Lepas itu kononnya hadiah kereta, rumah dan klinik. Semua itu hanyalah content semata-mata.

Tambah Dr Afifah, kesabarannya kini sudah sampai ke kemuncak selepas sekian lama memilih untuk berdiam diri demi menjaga aib dan maruah semua pihak.

Dr Afifah kesan dengan tindakan Nubhan. 

“Saya masih ada ibu bapa. Di mana hormat kamu terhadap orang tua saya? Adakah ini yang dikatakan anak soleh? Kamu aniaya saya seperti ini.

“Saya sudah tidak mampu lagi berdiam diri. Tangan saya menggigil. Sekurang-kurangnya tunggulah urusan harta sepencarian selesai atau berbincang secara elok.

“Kenapa perlu buat secara mengejut? Saya yang akan pulang penat-penat dan lihat keadaan rumah berterabur. Ya Allah, kuatkan aku,” katanya.

Untuk rekod, mereka ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille,3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain