suria

Rindu nak berkumpul, Sharif Zero sanggup turun ego mohon maaf… Jumpa Atu tapi tidak dapat bertegur

Sharif rendahkan ego mohon maaf pada Atu.

PELAWAK Sharif Zero sanggup merendahkan ego dan tampil memohon maaf kepada adiknya, Atu, selepas hubungan mereka beradik renggang sejak kebelakangan ini.

Sharif atau nama sebenarnya Sharif Kadir Doli Sharif, 35, juga berharap segala sengketa antara mereka dapat diselesaikan secara baik. 

“Abang  (panggilan mesra Sharif) minta maaf. Seperti kata netizen, buang yang keruh ambil yang jernih. Semoga kami kembali seperti dulu.

Sharif rela hati memohon maaf.

“Kalau mereka anggap ini salah saya, ya mungkin salah saya sebab sudah bongkar cerita walaupun sebenarnya tiada niat. Tapi tak mengapa, benda sudah berlaku,” katanya kepada mStar.

Sharif berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Havoc Raya Fest yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Shah Alam pada Isnin. 

Sebagai abang, Sharif mengakui rasa sedih dengan keretakan hubungan tersebut dan tidak menyangka perselisihan faham itu menjadi semakin besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sharif Zero jawab isu gaduh adik-beradik, sampai ibu jauh di Sabah pun tanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Masalah dah selesai, Atu Zero ambil bayaran di Awesome TV

“Sudah tentu sedih. Cuma saya tak sangka ia boleh jadi sebesar ini. Bagi saya sebenarnya perkara ini boleh diselesaikan,” katanya.

Ditanya mengenai usaha untuk berbaik, Sharif tidak menafikan dia ada memulakan langkah namun memberi bayangan ia tidak disambut baik oleh adiknya.

“Ada, jangan cakap tiada. Berapa kali saya ajak jumpa? Ada ke isu duit? Marilah datang ke rumah.

Saya rindu nak berkumpul dengan mereka.

SHARIF ZERO

PELAWAK

"Saya tak kisah sama ada mereka datang ke tempat saya atau saya pergi ke tempat mereka,” luahnya.

Dalam pada itu, Sharif mengakui pernah bertemu dengan Atu dan abangya iaitu Syaiful Zero, namun dalam pertemuan tersebut mereka tidak berpeluang menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Dari kiri Atu, Sharif dan Melati sebelum ini sangat rapat.

Katanya, ibu mereka juga mengetahui masalah yang berlaku dan percaya mereka adik-beradik akan kembali berbaik dalam masa terdekat.

“Baru-baru ini saya ada jumpa ibu, Syaiful dan Atu, tapi macam biasa tak dapat bertegur. Hari itu pun kami ada main bola sama-sama.

“Ibu tahu hal ini. Dia anggap biasalah gaduh adik-beradik dan percaya kami akan berbaik semula nanti.

Atu dan Sharif bertengkar disebabkan pendedahan di podcast.

“Doakan yang baik-baik. Saya rindu nak berkumpul dengan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Sharif dalam satu temu bual podcast berkongsi kisah hidup Atu yang dipercayai hampir terjerumus dengan aktiviti penyalahgunaan dadah kerana salah pilih kawan.

Pendedahan tersebut dipercayai menjadi punca konflik antara mereka sehingga hari ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain