KEPUTUSAN penyanyi Nubhan memindahkan barangan peribadi bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek ketika ketiadaannya di kediaman itu dibuat sebagai langkah mengelakkan pertembungan yang boleh mencetuskan pergaduhan.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie yang mewakili Nubhan, Mohd Redzuan Ramli, yang memberitahu langkah itu dibuat demi menjaga keadaan agar tidak bertambah tegang sekiranya kedua-dua pihak bertembung.
“Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang pergaduhan tercetus apabila bertemu.

Nubhan pindahkan barang bekas isteri dengan baik.
“Saya dimaklumkan sekiranya mereka bertemu pasti ada salah faham dan pergaduhan mulut berlaku,” katanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Mohd Redzuan, dia turut dimaklumkan terdapat beberapa perkara serius yang ditemui oleh anak guamnya selepas memasuki kediaman tersebut yang disifatkan berpotensi melanggar undang-undang.
“Nubhan juga menyatakan bahawa terdapat perkara-perkara yang melanggar undang-undang yang dia temui selepas memasuki rumah tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: “Dakwaan barang dicampak tidak benar dan fitnah” - Peguam Nubhan
ARTIKEL BERKAITAN: “Kejam dan tidak berhati perut!"– Netizen lancar boikot, desak GV12 singkir Nubhan
“Perkara ini akan disentuh oleh Nubhan dalam tuntutan kes harta sepencarian bekas isteri kelak,” katanya.
Terdahulu Mohd Redzuan menafikan dakwaan kononnya barangan peribadi Dr Afifah atau mesra dengan panggilan Dr Fie dicampak seperti yang diluahkan di media sosial semalam.
Redzuan berkata, poses pengalihan barangan itu dilakukan secara berhemah dan teratur dengan menggunakan khidmat syarikat angkut berdaftar.
Sebelum ini, Dr Afifah meluahkan rasa kecewa dan berang apabila mendakwa barangan peribadi miliknya bersama anak-anak dikeluarkan dari kediaman mereka tanpa pengetahuan serta persetujuan.

Nubhan dan bekas isteri sah bercerai talak dua.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berada di luar negara, sekali gus membuatkan dirinya terkejut dan terkilan dengan tindakan bekas suami yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Lebih teruk, dia juga mendedahkan pemberian Nubhan seperti rumah dan klinik sebelum ini hanyalah untuk dijadikan sebagai kandungan media sosial.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun disahkan bercerai talak dua pada awal Disember lalu selepas melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille,3.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


