PENYANYI Zehra Zambri tidak berhasrat untuk memohon semula kerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM) walaupun berdepan dengan masalah kewangan selepas episod perceraian Ogos lalu.
Zehra berkata, selepas namanya diburukkan oleh seorang individu yang tidak didedahkan identitinya di organisasi itu, dia memilih untuk bekerja di syarikat yang tidak memberi kemudaratan kepada dirinya.
"Tak mungkin saya kembali ke tempat yang buat saya trauma.
"Nama dah diburukkan. 'Dia' buat smear campaign. Semua orang menentang saya. Tidak mengapa kita cari rezeki di tempat yang tak beri mudarat, " katanya.

Komen balas Zehra di Threads.
Zehra menjawab perkara itu di ruangan komen di aplikasi Threads selepas ditanya punca dia enggan kembali memohon kerja di RTM.
Zehra sebelum ini pernah berkhidmat di RTM selama sembilan tahun sebagai wartawan penyiaran, pengacara Selamat Pagi Malaysia dan pembaca berita.
Sebelum itu, Zehra membuat luahan selepas mendakwa dirinya berada pada fasa sangat kritikal dan harus hidup semula daripada bawah.
"Saya berada pada fasa yang sangat kritikal. Saya harus memulakan hidup dari bawah dan anak perlu saya nafkahi.
ARTIKEL BERKAITAN: Zehra Zambri sah bercerai talak satu dengan suami
ARTIKEL BERKAITAN: Badan menggigil takut, tidak dinafkahi selayaknya... Zehra Zambri kongsi luahan ujian hidup
“Perkahwinan lalu telah membuatkan saya kehilangan banyak perkara, termasuk aspek kewangan saya sendiri yang telah dicabuli,” katanya.
Menerusi ruangan komen, penyanyi itu turut memberitahu wang simpanannya banyak digunakan bagi bayaran guaman sepanjang proses perceraian dengan bekas suami.
Menjawab cadangan peminat untuk merakamkan semula lagu Semalaka, kata Zehra, perkara itu agak sukar kerana berdepan masalah kewangan.

Luahan yang dimuat naik oleh Zehra.
“Memang ada terfikir, tetapi yang menjadi kekangan adalah kewangan.
“Saya harus menguruskan dahulu kes tuntutan nafkah dan kes saman fitnah berhubung dakwaan saya memukul suami. Banyak wang dihabiskan untuk kos guaman,” katanya.
Zehra dalam masa sama terbuka untuk menerima mana-mana tawaran kerja bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Bukan hanya sebagai penyanyi, dia turut berkongsi pengalaman dan kebolehannya sebagai pengacara majlis.

Zehra dan Nur Iqwan sah cerai pada Ogos lalu.
“Saya ingin bekerja semula. Jika ada sesiapa yang memerlukan khidmat untuk persembahan pentas, boleh hubungi saya.
“Selain menyanyi, pengalaman saya terdahulu juga dalam bidang penyiaran. Jika ada apa-apa peluang yang bersesuaian dengan bakat dan pengalaman saya, mohon dipanjangkan,” jelasnya.
Zehra, 38, sah bercerai talak satu dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi pada 20 Ogos lalu.
Zehra dan Nur Mohd Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


