suria

Anak terkilan tak sudah gagal tunai permintaan solat jenazah, “Dua kereta tak sempat jual, ibu pergi dulu”

Khairul reda dengan pemergian ibunya. Gambar kecil Khairul bersama ibunya di Jalan TAR sebelum Aidilfitri baru-baru ini.

MACAM-macam cara telah dilakukan untuk mengubati penyakit kanser payudara ibunya, namun ajal maut di tangan Tuhan.

Bagi Muhammad Khairul Shafiq Zainal, 22, tempoh lapan bulan selepas ibunya Norhaizan Hamzah didianogsis dengan kanser payudaya merupakan detik sedih dalam hidup keluarganya.

Menurut Khairul, ketika mendapat perkhabaran itu, ibunya yang berusia 49 tahun memaklumkan bahawa dirinya adalah penghidap kanser tahap 3.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia minta saya imamkan solatnya sebelum rebah..."

ARTIKEL BERKAITAN: Luluh hati, hadiah hari jadi dipenuhi darah... “Ada 3 tilam, bila tanya siapa yang meninggal semua diam”

"Tetapi sebenarnya ibu sudah di tahap empat. Dia sembunyikan berita ini mungkin tidak mahu anak-anaknya risau.

"Selepasa disahkan kanser, ibu menjalani rawatan kimoterapi pada akhir Februari dan selepas itu dia kelihatan semakin pulih, rambut pun dah tumbuh macam biasa," katanya kepada mStar.

Ibu Khairul bersama abahnya ketika Aildilfitri Jun lalu.

Bagaimanapun, kelegaan mereka sekeluarga tidak lama apabila kanser kembali menyerang kira-kira tiga minggu lepas.

"Minggu pertama arwah sesak nafas sukar nak tidur. Setiap malam arwah selalu minta untuk disapu ubat panas di bahagian perut dan belakang supaya nyenyak tidurnya," 

Khairul yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Sepang, Selangor berkata walaupun bermacam usaha dan ikhtiar dilakukan oleh keluarganya, Allah lebih menyayangi ibunya.

"Saya tahu ibu seorang yang kuat. Sehingga nafas terakhirnya, ibu seperti masih berjuang.

"Dalam tempoh beberapa minggu sebelum dia 'pergi' memang kesihatan ibu semakin merosot. Minggu lalu ibu meninggal dunia (Rabu), sebelum dia sempat menjalani rawatan kimoterapi kedua.

Khairul bersama salah seorang adiknya, Nor Aqilah yang sentiasa menjaga ibunya ketika sakit.

"Penyakit kanser itu telah merebak ke bahagian hatinya. Doktor ada beritahu bahawa kanser yang dinamakan 'HER2' yang menyerang ibu ini sangat jarang terjadi  dan sangat agresif.

"Pada masa itu juga abah ambil keputusan untuk menjual dua buah keretanya bagi menampung perbelanjaan perubatan ibu. Namun belum pun sempat kereta dijual, ibu pergi dulu," ujarnya.

Khairul yang merupakan anak tunggal lelaki daripada lima beradik memberitahu dia terkilan kerana tidak menunaikan hasrat terakhir ibunya.

"Ibu pernah pesan jika dia meninggal dunia, ibu mahu saya melakukan solat jenazah.

"Tetapi saya tak dapat melakukannya kerana tak tahu. Saya sedih kerana tidak ambil perhatian mengenai perkara itu, memang kecewa," katanya.

Abah sebak. Abah tengok tempat solat arwah pun abah sebak. Sejadah dan telekung masih berlipat di lantai.

MUHAMMAD KHAIRUL SHAFIQ ZAINAL

Menurut Khairul, suasana di rumahnya kini agak sepi tanpa kehadiran insan yang bergelar ibu, manakala bapanya sentiasa sebak apabila melihat perbualan bersama arwah di aplikasi WhatsApp.

"Arwah sering minta izin abah untuk keluar beli barang atau menjenguk bapanya yang juga sakit di Kampung Bali, Perak. Tidak lupa juga arwah pernah kongsi gambar masakan terakhir untuk abah.

"Abah sebak. Abah tengok tempat solat arwah pun abah sebak. Sejadah dan telekungnya masih terlipat di lantai.

"Sepanjang ibu sakit, dia tidak pernah menangis depan abah. Malah abah sendiri kadang-kala menangis sendirian di bilik air.

Khairul berkongsi iklan untuk menjual kereta bapanya di laman Twitter sebelum ibu meninggal dunia.

"Kalau sebelum ini sebelum tidur ibu sentiasa meminta maaf dengan abah, tetapi sejak kebelakangan ini, abah pula berbuat demikian. Wajah ibu tenang sahaja.

"Kami adik beradik tahu ibu kini sudah lepas derita penyakitnya. Ibu pergi dengan tenang dan pada malam pertama ibu selamat dikebumikan, kakak kedua saya terhidu bau wangi di rumah, terasa kehadiran ibu.

"Malah dia juga bermimpi ibu datang, tersenyum. Kakak saya tu memang rapat dengan ibu dan mereka sentiasa berkongsi cerita," jelasnya.

Dalam masa sama, Khairul berterima kasih kepada warga Twitter yang tidak putus-putus berdoa dan memberi semangat kepadanya.

"Saya memuat naik status mengenai ibu, ia sebenarnya salah satu cara untuk hilangkan rasa sedih di hati.

"Walaupun tidak kenal, tetapi ada juga yang sanggup minta nombor telefon untuk bercakap memberi semangat.

"Tidak sangka warga media sosial ini sebenarnya sangat prihatin," jelasnya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain