SEORANG bekas pemain bola sepak Kelantan bersama rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang pemilik kedai emas tahun lalu.Tertuduh, Che Hisammudin Hassan, 51, yang merupakan bekas penyerang pasukan bola sepak Kelantan era 1990-an hinggan 200-an dan rakannya, Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah pada Ahad, kedua-dua lelaki itu didakwa melarikan mangsa iaitu Marzuki Mustapha secara paksa dengan niat untuk menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah.Perbuatan itu dilakukan tepi jalan Kampung Palekbang, Tumpat, Kelantan kira-kira pukul 7.20 pagi pada 20 Mei 2025.Susulan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan dan peguam, Heather Marie Anthony mewakili Che Hisammudin manakala Saufi tidak diwakili peguam.Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh selain menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.Che Hisammudin membayar ikat jamin itu manakala rakannya tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.Untuk rekod, Che Hisammudin merupakan penyumbang kejuaraan pasukan Negeri Sembilan ketika pertandingan TM Liga Super 2006.