suria

Lelaki mabuk larikan kereta e-hailing ditahan polis, pandu lawan arus

Lelaki itu juga dilihat cuba merosakkan kereta pemandu e-hailing. -Gambar media sosial

SEORANG lelaki tempatan ditahan selepas disyaki memandu melawan arus dalam keadaan mabuk di Lebuhraya Spring pada awal pagi Khamis.

Suspek turut dipercayai melarikan kenderaan e-hailing dalam kejadian tersebut. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek ditahan  pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di kilometer 0.7 lebuh raya berkenaan pada pukul 2.10 pagi.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Khamis lebih kurang pukul 1 pagi.

“Suspek telah ditahan di KM 0.7, Lebuhraya Sprint kerana memandu secara melawan arus.

“Siasatan lanjut mendapati suspek memandu di bawah pengaruh alkohol dan juga sedang melarikan sebuah kereta e-hailing selepas berlaku salah faham dengan pemandu kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, insiden berkenaan tular di media sosial memperlihatkan suspek dalam keadaan terhuyung-hayang sambil memarahi seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing.

Lelaki berkenaan juga dilihat menendang kenderaan mangsa.

Artikel Lain