suria

[V] Rakan ‘update’ nasib penunggang motosikal dilanggar Proton Saga hingga terpelanting di LDP

Tindakan pemandu Proton Saga mengubah laluan menyebabkan penunggang motosikal terbabit kemalangan.

SEORANG penunggang motosikal cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang cuba mengelak kemalangan di Lebuh Raya Damansara–Puchong (LDP) berdekatan Bandar Utama, Petaling Jaya di Selangor.

Dalam kejadian pukul 3.36 petang Jumaat itu, mangsa yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dilaporkan mengalami patah tangan kanan serta retak tulang rusuk dan kecederaan pada ibu jari kaki.

Berdasarkan rakaman yang tular [Tonton Video] insiden tersebut bermula apabila tiga buah kereta jenis Honda bertembung di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

Ia membabitkan Honda Jazz, Honda City Hatchback dan Honda City di laluan yang sedang mengalami kesesakan trafik.

Susulan itu, sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada di belakang dipercayai cuba mengelak dengan menukar laluan secara mengejut ke lorong kanan.

Tindakan itu menyebabkan kereta Proton Saga berkenaan melanggar motosikal yang ditunggang mangsa, sehingga dia tercampak ke atas jalan.

Motosikal mangsa juga dilihat terpelanting ke laluan bertentangan hingga mengenai sebuah Perodua Alza.

Menurut seorang pengguna media sosial yang juga rakan sekerja mangsa, penunggang motosikal terbabit kini sedang menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Alhamdulillah dia dah stabil sekarang dan masih berada di hospital. Patah tangan kanan, retak serta patah tulang rusuk dan ibu jari kaki. 

"Mohon ramai-ramai doakan kesihatannya. Terima kasih," katanya.

Artikel Lain