SEORANG lelaki warga Pakistan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada Khamis ketika berada dalam tahanan berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, dan kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna jingga serta seluar panjang hitam. Lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 14 (d) dan (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.“Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati memandangkan suspek mempunyai rekod kesalahan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor C. Muhendran di talian 010-4304383.Boleh juga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di 03-61561222, atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.Dalam pada itu, Mohd Hafiz turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan operasi pihak berkuasa serta mencetuskan kegusaran awam.Sementara itu, Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan dan menahan semula Orang Kena Tuduh (OKT) terbabit.Menurut kenyataan jabatan itu, operasi pencarian sedang dipergiatkan dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan.“Jabatan Penjara komited memastikan keselamatan tahanan dan orang awam sentiasa terpelihara serta akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran prosedur,” katanya.