suria

Ajal lepas solat Zohor berjemaah… Pelajar maut dirempuh kereta terbabas depan surau sekolah

Mangsa dilihat terperosok di bawah kenderaan tersebut.

SEORANG pelajar maut, manakala rakannya cedera parah dirempuh kenderaan dipandu seorang wanita yang terbabas di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas dekat Pengkalan Chepa di Kelantan, pada Ahad.

Nahas pada pukul 1.50 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Rakan mangsa yang parah di bahagian badan, dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), manakala pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami kecederaan. 

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang memakai kasut selepas mereka selesai solat Zohor secara berjemaah. 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika seorang wanita sedang memandu dalam kawasan sekolah berkenaan.

"Apabila sampai di lokasi, pemandu kereta itu dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas ke depan sehingga terlanggar dua pelajar yang ketika itu sedang memakai kasut di depan surau perempuan dan terlanggar tiang batu di situ.

"Akibat perlanggaran itu, pelajar yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah di badan dan menerima rawatan di Zon Merah HRPZII," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HRPZII untuk bedah siasat.

Jenazah pelajar terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas selesai proses bedah siasat.

Artikel Lain