"Dia minta saya imamkan solatnya sebelum rebah..." - Semasa | mStar

"Dia minta saya imamkan solatnya sebelum rebah..."

Bayi Adam Luth Syafie dan Adam Lutfi Syarif. Foto kredit: Alif Adam

PETALING JAYA: "Dia minta saya mengimamkan solat Maghribnya sebelum rebah masa nak solat. Itulah kali terakhir saya berbual dan menatap matanya sebelum dia pergi tinggalkan saya selamanya."

Alif Adam Raif yang masih bersedih selepas kehilangan isteri (Alia Sumayyah Ali Khalbi) yang baharu sahaja melahirkan bayi kembar lelaki, sehari selepas bersalin pada 7 Oktober lalu mengakui belum kuat untuk menerima kenyataan ini.

Namun jelas Alif, semua yang berlaku dalam hidupnya ini adalah ketentuan daripada-Nya.

"Pada bulan pertama perkahwinan Alhamdulilah isteri saya disahkan mengandung. Namun kandungan itu tak bertahan, isteri saya keguguran.

"Doktor beritahu rahim isteri saya tidak kuat untuk mengandung. Allah bagi lagi rezeki siapalah kami untuk menolaknya dan isteri saya disahkan mengandung. Tetapi dalam masa yang sama doktor mengesahkan juga isteri saya menghidapi kanser servik," jelas Alif, 26, kepada mStar Online.

Menurut Alif, doktor menyarankan supaya kandungan isterinya digugurkan.

"Saat itu isteri menangis teruk dan enggan melakukannya. Dia bertekad untuk melahirkan zuriat untuk saya.

"Isteri saya juga kerap dimasukkan ke hospital. Saya bersetuju dengan saranan doktor demi kebaikan isteri, dia tetap tidak mahu kerana rasa dirinya tidak sempurna sebagai isteri sekiranya tidak dapat melahirkan zuriat.

"Isteri saya boleh meneruskan untuk melahirkan tetapi hanya pada awal tujuh bulan kandungannya untuk proses pembedahan.

"Sehari selepas pembedahan melahirkan bayi kembar, isteri saya pergi buat selama-lamanya.

"Walaupun dalam kesedihan, saya turut bersyukur kerana kedua-dua bayi saya (Adam Luth Syafie dan Adam Lutfi Syarif) yang kini masih di hospital kerana lahir tidak cukup bulan berada keadaan sihat, tiada komplikasi.

"Dan saya juga masih ingat ayat terakhirnya sebelum menghembuskan nafas, dia berpesan supaya saya terus kuat sekiranya Allah menjemputnya pulang.

"'Jangan pernah salahkan takdir Allah, kerana itulah lumrah kehidupan setiap pertemuan akan berakhir dengan perpisahan'," ujarnya sayu.


Mengimbas kembali perkenalan awal dengan arwah isterinya, Alif mengakui isterinya itu seorang yang 'jual mahal' dan pemalu.

"Saya baharu mengenalinya dua tahun lalu. Tetapi sebenarnya saya selalu nampak dia sejak berusia 16 tahun. Kawan baik saya tinggal berjiran dengan arwah.

"Selepas arwah habis sekolah saya cuba minta tolong kawan saya untuk kenalkan saya dengan isteri.

"Saya cuba banyak kali dan akhirnya pada Julai tahun lalu  saya beranikan diri membawa keluarga meminangnya dan kami berkahwin pada awal tahun ini.

"Isteri saya baru berumur 19 tahun, semestinya perangai berjiwa remaja. Namun apa yang saya suka dia yang sangat merendah diri, dia seorang niqabis. Dia jaga akhlak sebagai seorang isteri. Walaupun masih muda namun dia seorang yang sangat matang dan bijak menguruskan keperluan saya. Dia seorang yang mudah tersentuh dan mudah terhibur.

"Terlalu banyak detik manis kami bersama, tetapi, masa tak mengizinkan kami untuk terus bersama," katanya yang kini tidak sihat kerana merindui arwah isterinya.

Dalam pada itu, Alif turut berkongsi tekadnya untuk membesarkan anak-anaknya sendiri.

"Kehadiran anak-anak membuatkan saya tetap kuat. Arwah isteri ada pesan jika dia tak sempat membesarkan anak-anaknya , dia berharap saya dapat pengganti  tempatnya dengan seorang ibu yang baik.

"Saya rasa tidak, cukuplah saya untuk mereka. Menggantikan tempatnya tidak mungkin. Saya berazam untuk membesarkan anak-anak saya dengan penuh kasih sayang. Saya akan selalu mengingatkan mereka tentang ibu mereka walau tidak pernah berjumpa.

"Cukuplah ada keluarga dan mereka yang tidak henti mendoakan kami, terima kasih kerana selalu memberi sokongan penuh sehingga ke hari ni. Saya berharap doa dan sokongan mereka tidak akan putus untuk keluarga kecil saya ini," katanya.

Isteri , suami , bayi kembar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi