PETALING JAYA: Gara-gara papan tanda sebuah restoran menggunakan nama ‘kubur’, persoalan seorang gadis tentang nama restoran itu di laman sosial tular. “Masa ayah aku tengah memandu, aku pun bacalah papan tanda kedai ni. Aku macam pelik juga apa pasal dia letak nama kedai dia macam tu. “Bila aku tengok seberang oh rupanya memang ada kubur depan tu,” tulisnya di Twitter @_azshr pada Ahad lalu sehingga diulang kicau hampir 4,000 kali. Dalam perkongsian itu dia turut memuat naik gambar hadapan restoran berkenaan dan gambar Tanah Perkuburan Islam Kariah, Kg Teluk Kemang di Teluk Kemang, Port Dickson. Persoalan gadis bernama Nur Izzati Nazira itu mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk gurauan dan jenaka, malah ada yang berkongsi pengalaman berkunjung ke restoran tersebut.. Pengusaha restoran itu, Salmi Osman, 35, berkata, perniagaan nasi lemak itu mula diusahakan oleh arwah ibunya secara kecil-kecilan sejak 1995 sebelum dibangunkan sebagai sebuah restoran beberapa tahun lalu, di lokasi yang masih sama di hadapan tanah perkuburan. “Dulu namanya adalah Kedai Makan Kak Ann, tapi panggilan nama ‘depan kubur’ tu digunakan para pelanggan terutama yang sering datang makan di kedai kami. “Bila mereka kata nasi lemak sedap kat mana, mereka kata ‘nasi lemak kat depan kubur tu’, jadi lama-lama dah melekat nama ‘nasi lemak depan kubur’,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Tanah Perkuburan Islam Kariah, Kg Teluk Kemang di Teluk Kemang, Port Dickson. Salmi memberitahu, restoran yang turut menyajikan hidangan lain seperti lontong, bakso, roti canai dan bihun goreng itu ditukarkan nama kepada ‘Nasi Lemak Depan Kubur’ dua tahun lalu dan didaftarkan untuk tujuan komersial. Anak kelahiran Teluk Kemang ini mengimbas kembali saat mahu mendaftarkan nama restorannya di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pegawai bertugas seakan tidak percaya dan berkali-kali bertanya untuk mendapatkan pengesahan. “Dia tanya ‘kenapa kedai akak ni seram sangat’. Dia tanya sampai tiga kali sambil tergelak. Saya pun tergelak dengan reaksi dia, tapi saya beritahu memang kedai depan kubur sebab tu nak letak nama tu,” katanya. Salmi meneruskan perniagaan nasi lemak yang diusahakan oleh arwah ibu. Ibu kepada dua anak ini turut pernah diajukan soalan berhubung nama restorannya dalam kalangan pelanggan, malah ada yang membayangkan keadaan premisnya apabila beroperasi pada waktu malam. “Saya kata pada mereka yang kedai saya hanya dibuka pada waktu pagi saja, tak buka waktu malam. Saya bergurau beritahu ‘kalau buka malam takut hantu kubur datang’,” katanya. Katanya, keadaan restorannya pada waktu malam tidak seram seperti yang mungkin digambarkan kerana di kawasan tersebut turut dibarisi kedai dan restoran lain. Nasi Lemak Depan Kubur terkenal dengan resepi sambal kawah. Foto Facebook Nasi Lemak Depan Kubur Menurut Salmi, ketika ini restoran yang popular dengan nasi lemak resepi sambal kawah itu beroperasi setiap hari dari pukul 6.30 pagi sehingga 11.30 pagi. Namun dia menjelaskan restoran itu beroperasi hanya pada waktu pagi bukan kerana dimomokkan kisah hantu berikutan lokasinya yang terletak berhadapan dengan kubur, tetapi kerana permintaan terhadap nasi lemaknya lebih banyak pada waktu berkenaan. “Dari dulu kami pernah cuba buka waktu lain, termasuk tengah hari dan malam, tapi lebih banyak sambutan daripada pelanggan pada waktu pagi. “Kalau ada permintaan untuk kami beroperasi pada waktu lain seperti malam, kami akan pertimbangkannya. Memang ada rancangan untuk mengembangkan perniagaan. Kalau dah buka malam jangan lupa datang walaupun depan kubur!,” kata Salmi secara berseloroh.