suria

9.5 peratus pelajar sekolah menengah P.Pinang rancang bunuh diri

Dr Wan Mansor Hamzah

BUTTERWORTH: Sebanyak 18.5 peratus pelajar di negeri ini mengalami masalah kemurungan dengan kira-kira 9.5 peratus pelajar sekolah menengah pernah merancang membunuh diri, kata Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata data yang diperoleh menerusi ‘Hasil Tinjauan Kesihatan Remaja Kebangsaan 2017' itu turut menunjukkan peratusan cubaan membunuh diri di kalangan pelajar ialah sebanyak enam peratus.

"Walaupun data itu dilihat terkawal, tetapi ia sesuatu yang membimbangkan kerana banyak faktor yang boleh mempengaruhi emosi remaja pada masa kini mendorong kepada perlakuan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Peringkat Pulau Pinang dan Pelancaran Program Siswa Sihat (Prosis) UiTM Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Beliau berkata pada zaman digital ini, pengaruh internet banyak memainkan peranan yang boleh mempengaruhi emosi remaja, yang jika tidak dikawal akan mewujudkan persekitaran yang tidak sihat.

Sehubungan itu Dr Wan Mansor meminta ibu bapa yang mendapati anak mereka mempunyai tanda-tanda kemurungan agar tampil untuk mendapatkan bantuan dan rawatan.

"Hospital dan klinik kesihatan sentiasa terbuka untuk menerima pesakit yang mengalami masalah kemurungan… kami nak bendung penyakit ini daripada terus meningkat,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa papadom mempunyai kandungan garam yang tinggi sehingga membahayakan kesihatan, Dr Wan Mansor berkata jika dakwaan itu betul, ia sesuatu yang membimbangkan.

"Ini kerana pengambilan garam di dalam makanan secara berlebihan sudah tentu mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan," katanya.- Bernama

Pelajar, rancang bunuh diri

Artikel Lain