SEORANG lelaki warga emas maut dalam kebakaran menyayat hati di sebuah pangsapuri selepas dipercayai terperangkap dalam timbunan sampah yang memenuhi kediamannya.
Kejadian pada malam Ahad itu mengakibatkan mangsa yang berusia lingkungan 70-an meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Ulsan, Korea Selatan.
Berdasarkan laporan media tempatan, mangsa didakwa tinggal bersendirian di sebuah unit di tingkat tujuh di Ulsan dan dikenal pasti sebagai veteran Perang Vietnam.
Menurut Ibu Pejabat Bomba Ulsan, kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6.56 petang sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan jantung terhenti.
Dia kemudian diberikan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia ketika proses penyelamatan dilakukan.
Mengulas tentang operasi pemadaman api, ujar beliau operasi berdepan kesukaran apabila anggota bomba terpaksa meredah timbunan sampah yang disusun sehingga paras mata.
Situasi tersebut menyebabkan api hanya berjaya dipadam sepenuhnya sekitar pukul 2.40 pagi Isnin.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hidup sebagai pengumpul sampah tegar selama hampir 20 tahun.
Dia didakwa sering membawa pulang pelbagai barangan terbuang seperti peralatan elektrik rosak dan pakaian lama.
Malah kakitangan keselamatan pangsapuri turut mendedahkan mereka pernah menggunakan wang sendiri beberapa tahun lalu untuk membersihkan unit berkenaan serta menukar kertas dinding dan lantai bagi membantunya.
Namun, mangsa dikatakan kembali mengumpul sampah dan menolak permintaan pembersihan seterusnya selain pernah mencabar pihak terlibat membawa perkara itu ke mahkamah.
Pegawai daerah juga pernah menggesa mangsa mengosongkan unit berkenaan, namun permintaan tersebut tidak diendahkan.
Untuk rekod, pangsapuri 10 tingkat itu dibina pada 1996 dan tidak mempunyai sistem sprinkler kerana ia tidak diwajibkan bagi bangunan kediaman bawah 16 tingkat ketika itu. -Agensi


