SEORANG wanita berkongsi satu kejadian mengejutkan di media sosial bagi memberi amaran kepada ibu bapa lain, selepas pembantu rumahnya didakwa menuang cecair antseptik ke dalam botol susu anak lelakinya.
Menurut perkongsian wanita berasal dari Thailand yang dikenali sebagai Yokey R di Facebook, keluarganya mengupah seorang pembantu rumah sementara kerana salah seorang pembantu rumah tetapnya bercuti sehari.
Pembantu rumah sementara yang dikenali sebagai Usanee ditugaskan untuk membersihkan rumah sahaja, manakala pembantu rumah tetapnya ditugaskan menjaga anak kecilnya, Kirin.
Menurut Yokey, kejadian mencurigakan itu disedari ibunya apabila terhidu bau bahan kimia yang kuat daripada botol susu Kirin, sebelum memeriksa dan mendapati susu yang dibancuh berasa pahit.
Bimbang akan keselamatan anaknya, Yokey segera membawa Kirin ke hospital.
Pada masa yang sama, suaminya menyoal Usanee, namun pembantu rumah tersebut memberikan jawapan berdolak-dalik sebelum melarikan diri dari rumah.
Doktor mengesahkan keadaan Kirin stabil, namun menasihatkan agar kanak-kanak itu ditahan di hospital semalaman bagi pemantauan lanjut sekiranya berlaku kesan daripada bahan toksik.
Keluarga itu kemudiannya menyemak rakaman kamera keselamatan dan mendakwa video menunjukkan Usanee membawa botol susu Kirin ke tingkat bawah rumah sebelum menuangkan cecair antiseptik ke dalamnya.
Yokey turut memaklumkan bahawa susu yang tercemar telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut dan keluarganya bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Usanee. -Thaiger


