SEORANG pemandu dan penumpang kenderaan elektrik (EV) terbunuh selepas mereka dilanggar dari belakang oleh sebuah trak di lebuh raya.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang menolak kenderaan mereka yang kehabisan bateri.
Kejadian dilaporkan berlaku di Guangdong, China, pada 26 Disember lalu.
Media tempatan melaporkan bahawa pemandu itu sedang membawa dua penumpang di dalam keretanya apabila dia terpaksa berhenti di lorong perlahan selepas bateri kenderaan itu kehabisan.
Semasa dia menolak kenderaan itu bersama salah seorang penumpang, sebuah trak merempuh mereka kerana jarak penglihatan yang terhad.
Dilaporkan sebelum kejadian, penumpang kenderaan tersebut mencadangkan kepada pemandu untuk mengecas kenderaan namun nasihat tersebut tidak diendahkan.
Ketika dalam perjalanan, penumpang sekali lagi mengingatkan pemandu untuk berhenti dan mengecas bateri kenderaan semasa ia melepasi dua kawasan servis.
Namun pemandu itu dikatakan mengabaikannya dan terus memandu tanpa berhenti untuk mengecas, mengakibatkan kenderaannya kehabisan bateri dan terpaksa ditolak.
Akibat rempuhan tersebut, pemandu dan penumpangnya mengalami cedera parah dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Sementara itu keadaan seorang lagi penumpang tidak dinyatakan. -Agensi


