SEORANG wanita berusia 43 tahun cedera selepas terkena kotak yang terjatuh dari ruang penyimpanan atas pesawat ketika penerbangan selama enam jam dari Qingdao, China ke Singapura.
Mangsa yang dikenali sebagai Dong Mingming, menaiki penerbangan Scoot TR187 dan duduk di tempat duduk 13B.
Kira-kira 30 minit selepas berlepas, dia memejamkan mata seketika untuk berehat apabila seorang penumpang lelaki membuka ruang atas pesawat di atas tempat duduknya.
Tidak lama kemudian, sebuah objek berat dipercayai kotak hadiah terjatuh dan menghentam kelopak mata kanannya.
Akibat kejadian itu, Dong mengalami luka sepanjang 4 sentimeter (cm), kelopak mata bengkak, penglihatan kabur serta pening, namun terpaksa menahan kesakitan sehingga pesawat mendarat.
Setibanya di Lapangan Terbang Changi pada pukul 3.15 petang, Dong segera mendapatkan rawatan di Hospital Besar Singapura, di mana doktor mengesahkan kecederaan pada kelopak matanya.
Doktor turut berkata parut pada kelopak mata Dong berkemungkinan akan kekal.
Dong memaklumkan bahawa penumpang lelaki terbabit ada memohon maaf, namun menafikan kotak hadiah itu miliknya.
Lelaki tersebut, yang merupakan pemegang pasport Hong Kong dan menetap di Australia, turut berjanji untuk menghubunginya semula berhubung pampasan, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima biarpun sudah hampir dua bulan insiden berlalu.
Menurut Dong, peguam yang dirujuk memaklumkan bahawa tanggungjawab terletak pada penumpang berkenaan, namun tindakan undang-undang sukar diambil kerana insiden berlaku di dalam pesawat dan melibatkan warga asing.
Dalam pada itu, pihak Scoot memaklumkan melalui e-mel bahawa syarikat penerbangan itu tidak dapat menawarkan pampasan kerana kecederaan tersebut disebabkan oleh penumpang lain. -Agensi


